Iklan

Amanah mahu tanding kerusi Parlimen Kuala Terengganu, DUN Bandar

Diyana Ibrahima year ago19th Jul 2023Berita
52468637918 7c09cd7b55 c
Setiausahanya Muzahar Hitam berkata rundingan agihan kerusi antara Barisan Nasional diterajui Umno dan Pakatan Harapan dalam fasa akhir perbincangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2023.
Iklan

AMANAH berhasrat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar dan kerusi Parlimen Kuala Terengganu, kata Setiausahanya Muzahar Hitam.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Muzahar berkata rundingan kerusi antara Umno-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan sedang berjalan dalam fasa akhir perbincangan.  

“Amanah Terengganu bersedia dan sedang berusaha untuk bertanding di kerusi (DUN) Bandar dan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

“Beberapa kerusi yang lain juga masih lagi dalam perbincangan akhir antara pimpinan utama parti,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan tarikh perbincangan akhir mengenai pembahagian kerusi.

Dalam kenyataan itu, Amanah juga mengumumkan kesediaan bertanding di tiga lagi kerusi DUN iaitu Tepuh, Batu Buruk, dan Ru Rendang.

Kenyataan Amanah itu menimbulkan tanda tanya hubungan kerjasama Umno - BN dan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu.

Awal Jun lepas The Malaysian Insight melaporkan keputusan rundingan untuk dua DUN Terengganu masih belum selesai. 

Sumber dalaman PH mendedahkan ia melibatkan kerusi DUN Bandar dalam Parlimen Kuala Terengganu dan kerusi DUN Chukai dalam Parlimen Kemaman.

Sumber turut mendedahkan yang selain BN, kerusi DUN Bandar menjadi rebutan dua parti PH iaitu PKR dan Amanah.

Ia menyebabkan masih tiada kata putus dicapai biarpun Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said mengumumkan pembahagian kerusi antara dua blok politik itu telah selesai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRN di enam negeri – Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah- akan diadakan pada 29 Julai ini dengan 12 Ogos sebagai tarikh pengundian. 

SPR turut mengumumkan yang PRK Kuala Terengganu akan diadakan serentak dengan PRN.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 27 Jun lepas membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu selepas terbukti wujud unsur rasuah. – 19 Julai, 2023.

Iklan
Iklan