Model gaji progresif Rafizi tidak disokong
Iklan
MAJIKAN tidak bersetuju dengan model gaji progresif yang dicadangkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli apabila mendakwa mekanisme pelaksanaan model itu mungkin “terlalu rumit.”
Mereka juga berkata ia tidak akan menyelesaikan objektif utama untuk menangani kos sara hidup yang tinggi dengan mewajibkan kenaikan gaji tahunan.
Mereka berkata jika dilaksanakan, ia boleh meningkatkan kos pengeluaran seterusnya akan mencetus inflasi.
Kerajaan menetapkan keutamaan yang salah, kata presiden Persatuan PKS Malaysia Ding Hong Sing kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata kerajaan sebaliknya harus membantu PKS bergerak ke arah automasi dan pendigitalan proses kerja mereka.
“Hanya dengan peningkatan produktiviti pekerja akan mendapat kenaikan gaji,” katanya.
Rafizi merancang untuk mendedahkan model gaji progresif bagi menangani kecacatan struktur yang berpanjangan dalam ekonomi negara, pada Ogos.
Menyedari ia akan dibantah, beliau menyifatkan model gaji sebagai salah satu pembaharuan paling “tidak popular” yang akan beliau laksanakan sebagai pembuat dasar.
Ding berkata jika proses pengeluaran PKS tidak diautomasikan dan ekonomi negara masih lembap, kos pengeluaran sudah tentu akan meningkat apabila mereka terpaksa membuat kenaikan gaji tahunan secara mandatori.
Beliau berkata jika kos pengeluaran meningkat, maka PKS yang mengeksport produk mereka akan menjadi kurang kompetitif.
“Saya harap kerajaan tidak akan melaksanakannya. Ia hanya akan menikam diri.
“Ia pasti tidak mampu menangani inflasi.”
Presiden Persekutuan Persatuan Peladang Sayur-sayuran Lim Ser Kwee berkata, model gaji itu seolah-olah menunjukkan kerajaan hanya mementingkan kebajikan pekerja dan bukannya majikan.
Beliau berkata tidak seperti majikan dalam sektor ekonomi lain, mereka yang mengusahakan pertanian sayur-sayuran menghadapi lebih banyak ketidaktentuan dan mereka tidak seharusnya mengeluarkan lebih banyak wang dalam kenaikan gaji tahunan mandatori.
“Kami petani menjalankan perniagaan yang bergantung kepada keadaan cuaca yang berubah-ubah. Kami juga tidak boleh menganggarkan berapa banyak yang boleh kami hasilkan dalam sehari.
“Kami baru sahaja pulih daripada wabak Covid-19 tidak lama dahulu. Ekonomi masih belum pulih sepenuhnya daripada perintah kawalan pergerakan disebabkan pandemik.
“Cadangan gaji ini hanya akan menambah beban kami dan ramai daripada kami petani menghadapi kemungkinan menutup operasi jika kami tidak mampu membayar kenaikan gaji mandatori,” kata Lim.
Kerajaan, kata Lim, tidak seharusnya membuat keputusan terburu-buru dan lebih bijak jika mereka berunding dengan industri terlebih dahulu.
“Kerajaan harus mempertimbangkan persoalan yang mungkin timbul sama ada industri mampu menanganinya.” – 23 Julai, 2023.
Berita penuh di sini.