Keputusan gantung 3 ahli Parlimen DAP tak perlu disiasat, kata Pandikar
Iklan
KEPUTUSAN untuk menggantung tiga ahli Parlimen daripada DAP tidak perlu dibawa kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen, kata Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia.
Pandikar berkata kes hanya akan dibawa kepada jawatankuasa itu sekiranya ia tidak jelas dan perlu disiasat.
“Jika ia dibawa ke jawatankuasa, ia adalah soal perkara yang tidak jelas dan perlukan siasatan. Apa lagi yang perlu disiasat. Surat sudah diberikan. Kami sudah tanya sama ada mereka mahu minta maaf atau tidak,” katanya kepada wartawan di Parlimen hari ini.
Penggantungan Nga Kor Ming (DAP-Taiping), V Sivakumar (DAP-Batu Gajah) dan Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) diumumkan oleh Timbalan Speaker Ronald Kiandee semalam yang mengatakan gesaan ketiga-tiga wakil rakyat itu supaya Pandikar meletak jawatan adalah penghinaan kepada Dewan Rakyat.
Beliau juga berkata, mana-mana Parlimen di dunia ini, tiada siapan pun boleh memperkecilkan speaker kerana speaker mewakili institusi berparlimen.
Terdahulu pada sidang media hari ini, Ngeh berkata belum pernah berlaku sebelum ini ahli Parlimen digantung tanpa dirujuk kepada jawatankuasa.
“Ia perlu dirujuk kepada jawatankuasa dan pendengaran perlu diadakan.
“Kita tidak diberi hak untuk didengar. Kami mewakili kawasan kami. Semua ahli Parlimen tertakluk kepada hak untuk didengar,” kata Ngeh dan menambah Pandikar telah membuat kesilapan.
Menurut Kiandee semalam, arahan penggantungan ahli Parlimen itu dibuat berikutan usul berhubung rampasan Equinimity, yang mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan Jho Low, dan soalan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Ia satu penghinaan kepada Dewan yang mulia dan turut mencemarkan nama baik Dewan Rakyat.
“Taiping, Beruas dan Batu Gajah telah membuat kenyataan tidak relevan kepada media dan enggan memohon maaf secara terbuka mengikut Peraturan Mesyuarat,” kata Kiandee. – 27 Mac, 2018.