Isu 3R taktik pasti menang raih undi Melayu pada PRN, kata penganalisis
Iklan
PENGANALISIS politik tidak yakin dengan jaminan diberikan parti politik, terutama Perikatan Nasional (PN), yang mereka tidak akan menggunakan isu 3R – kaum, agama, institusi diraja – pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Mereka berkata amaran daripada polis tidak diendahkan dan semua parti kini menggiatkan lagi kempen mereka untuk menawan pengundi Melayu.
Penganalisis berkata PN khususnya akan memainkan isu ini kerana mereka bertanding di negeri Melayu – Kedah, Kelantan dan Terengganu, malah menepis janji Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang pakatan itu tidak akan menggunakan isu 3R.
Mereka merujuk kepada Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor yang bercakap tentang Cina dan serangan terhadap institusi diraja Selangor sebagai taktik kempen PN.
Pemangku menteri besar kedah itu minggu lalu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan kesalahan hasutan berhubung kenyataannya dibuat pada program politik di Selayang.
“Anda tidak akan dapat undi jika hanya bercakap tentang kenaikan kos sara hidup atau kelembapan ekonomi,” kata pensyarah di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Liew Wui Chern kepada The Malaysian Insight.
Liew berkata di Malaysia, bahan kempen seperti itu tiada tarikan.
“Mengocak emosi tentang kaum, agama dan institusi diraja memang ada tarikan,” katanya menyebut tentang parti politik yang akan bertanding pada PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Beliau berkata parti politik akhirnya memilih kepada isu 3R “tidak dapat dielakkan”.
“Ia bukan sesuatu yang pelik. Ia sesuatu yang berlaku pada setiap pilihan raya.
“Ia tidak dapat dielakkan kerana dalam konteks rakyat Malaysia, bercakap tentang ekonomi atau kenaikan kos sara hidup tidak begitu menarik berbanding isu berkaitan kaum atau agama.
“Dalam politik Malaysia, ahli politik biasanya beralih kepada isu menyentuh emosi dan tiada yang lebih menarik selain daripada memainkan isu berkaitan kaum dan agama.”
Liew berkata isu kaum dan agama akan berleluasa di kerusi majoriti Melayu dan kawasan Melayu Islam.
Beliau memetik Kedah dan Sanusi sebagai contoh terbaik.
“Lebih dua pertiga pengundi adalah Melayu. Maka, PN tidak perlukan undi bukan Melayu.
“Jadi untuk Sanusi dan ahli politik sepertinya, hilang undi bukan Melayu tidak beri kesan sangat kepada mereka.
“Itu sebabnya kenapa Sanusi berani dan sangat lantang bercakap tentang isu 3R.”
Bagaimanapun, Liew berkata Melayu yang mendominasi PN tidak akan bergantung sepenuhnya kepada 3R untuk menang undi.
“Mereka akan campur sedikit. Ya, mereka akan bercakap tentang kos sara hidup dana keadaan semasa ekonomi tetapi itu akan dicampurkan dengan isu kaum dan agama untuk mewujudkan rasa tidak puas hati pengundi Melayu.” – 24 Julai, 2023.
Berita penuh di sini.