Iklan

Ahmad Amzad kekal calon Perikatan pada PRK Kuala Terengganu

Diyana Ibrahima year ago28th Jul 2023Berita
Amzad
Calon Perikatan Nasional Ahmad Amzad Hashim kekal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil. – Gambar Facebook, 28 Julai, 2023.
Iklan

PERIKATAN Nasional mengekalkan penyandangnya, Ahmad Amzad Hashim sebagai calon kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos depan.

Perkara itu diumumkan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Husain Awang sempena majlis pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) Terengganu di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila malam tadi.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong apabila Mahkamah Pilihan Raya pada Jun lepas membatalkan kemenangan penyandangnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia berikutan petisyen yang difailkan oleh Umno atas dakwaan PAS cuba merasuah pengundi dengan mengagihkan wang bantuan daripada program kerajaan negeri beberapa hari sebelum pengundian.

Sementara itu, PAS meletakkan 27 calonnya manakala lima lagi diwakili Bersatu dalam PRN di Terengganu kali ini.

Menteri Besar Penjaga Terengganu Ahmad Shamsuri Mokhtar kekal mempertahankan kerusi Parlimen Ru Rendang.

PAS turut menggugurkan dua exco negeri dalam senarai calon PRN Terengganu bagi memberi laluan kepada calon baharu.

Dua exco tersebut ialah Tengku Hassan Tengku Omar yang merupakan penyandang kerusi DUN Ladang yang akan diwakili calon tunggal wanita PAS, Zuraida Md Nor.

Manakala seorang lagi exco, Alias Razak yang merupakan penyandang kerusi DUN Bukit Tunggal memberi laluan kepada calon baharu, Zaharudin Zahid.

Ketua Penerangan Bersatu juga pengerusi Bersatu negeri, Razali Idris bertanding di kerusi DUN Kijal berentap dengan penyandangnya Ahmad Said.

Di Kelantan, PN meletakkan 39 calon daripada PAS, manakala Bersatu bertanding di enam DUN.

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dan timbalannya Mohd Amar Abdullah kekal mempertahankan kerusi masing-masing DUN Pasir Pekan dan Panchor.

PN Kelantan turut mengugurkan dua exco dalam senarai calon pada pilihan PRN kali ini.

Dua exco itu ialah penyandang DUN Demit, Mumtaz Md Nawi digantikan dengan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Asri Daud.

Exco, Hanifa Ahmad penyandang DUN Pengkalan Pasir digantikan dengan Nasrif Daud. – 28 Julai, 2023.

Iklan
Iklan