Iklan

Satu lawan satu di majoriti kerusi Terengganu, Kelantan

Diyana Ibrahima year ago29th Jul 2023Berita
Pn candidates annoucement tmi 01
Perikatan Nasional menerusi PAS di Kelantan dan Terengganu menyaksikan pertembungan satu lawan satu di kebanyakan kerusi pada PRN yang bermula hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2023.
Iklan

PERTANDINGAN satu lawan satu mendominasi kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu dan Kelantan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Penamaan calon bagi PRN di Terengganu awal pagi tadi menyaksikan perebutan tiga penjuru hanya berlaku di dua kerusi iaitu DUN Bandar dan DUN Hulu Besut yang merupakan kubu Umno.

Penyandang kerusi DUN Hulu Besut selama empat penggal, Nawi Mohamad (BN) akan dicabar calon, Mohd Husaimi Hussain (Bersatu) dan Che Harun Kamariah (Bebas).

Penyandang kerusi DUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed (PAS) pula akan dicabar calon Armi Irzan Mohd (Bandar) (BN) dan Luqman Long (Muda).

Bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu pula, penyandang Ahmad Amzad Hashim (PAS) dicabar Azan Ismail (PH.

Sementara itu, Menteri Besar Ahmad Shamsuri Mokhtar yang akan mempertahankan kerusi Ru Rendang akan dicabar Suhaimi Sulaiman (PH).

Selain itu kerusi DUN Kijal dijangka menyaksikan persaingan sengit antara penyandang Ahmad Said yang juga pengerusi BN negeri sah dicabar ketua penerangan Bersatu Razali Idris.

Seorang lagi bekas menteri besar, Ahmad Razif Abdul Rahman yang mempertahankan kerusinya di Seberang Takir sah dicabar calon Khazan Che Mat (PAS).

PRN kali ini merupakan kerjasama pertama BN-PH dalam pilihan raya selepas kerajaan perpaduan dibentuk pada PRU15.

PAS meletakkan 27 calonnya manakala lima lagi diwakili Bersatu dalam merebut 32 kerusi DUN di PRN di Terengganu kali ini.

Parti itu menetapkan sasaran untuk mengulangi pencapaian cemerlang selepas menyapu bersih kesemua lapan kerusi Parlimen dalam PRU15.

BN turut meletakkan 27 calonnya, dan lima lagi calon diwakili PH di kerusi DUN Terengganu.

Di Kelantan pula, empat kerusi DUN menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu di DUN Chempaka, Tendong, Jelawat dan Temangan.

Penyandang bagi kerusi DUN Chempaka, Nik Asma Baharum Nik Abdullah (PAS), dicabar Nik Normi Nik Ayub (BN) dan Ibrahim Sulong (Bebas).

Rozi Muhamad (PAS) yang mempertahankan kerusi DUN Tendong sah dicabar Noor Hariri Mohamed Noor (BN) dan Suzainal Adnan Sukri (Bebas).

Bagi kerusi DUN Jelawat, calon baharu, Zameri Nawang (PAS) sah dicabar Yusri Che Noh (BN) dan Zulkarnain Haron (Bebas).

Penyandang kerusi DUN Temangan, Mohamed Fadzli Hassan (PAS) dicabar Abdul Kadir Othman (PH) dan Mohamed Fadzli Hassan.

Manakala kerusi DUN Kota Lama juga panas dengan pertandingan empat penjuru antara Zamry Ismail (PAS) dan Hafidzah Mustakim (PH), Tan Boon Kian (PRM) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Perkembangan itu selari dengan jangkaan penganalisis politik yang meramalkan persaingan pertandingan satu lawan satu selepas PRU15.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata pertandingan satu lawan satu sudah tidak dapat dielak lagi berdasarkan pengalaman pilihan raya umum yang lalu.

Katanya, selepas PRU15, parti politik jelas rugi akibat pertandingan banyak penjuru dan akan kembali kepada dasar satu lawan satu yang lebih praktikal.

Hisomuddin berpendapat BN misalnya perlu bekerjasama dengan PH dan tidak boleh lagi bertanding sebagai blok ketiga.

Dalam PRU15, PH menang 82 kerusi sementara PN menang 74 kerusi, iaitu bersamaan 156 daripada seluruh 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Barisan Nasional (BN) yang mendominasi sehingga tersingkir daripada kuasa pada 2018 pula hanya menang 30 kerusi, lebih sedikit daripada kerusi yang dimenangi gabungan di Sabah dan Sarawak.

PRK Kuala Terengganu dan PRN di enam negeri Selangor, Kedah, Pulau PInang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan akan berlangsung serentak pada 12 Ogos, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Menurut SPR, seramai 9,773,571 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN enam negeri dengan pecahan seramai 930,894 pengundi di Terengganu dan 1,411,912 pengundi di Kelantan. – 29 Julai, 2023.

Iklan
Iklan