Iklan

Parlimen ditangguhkan selepas Kit Siang enggan keluar dewan

Parlimen-TMI2018
Lim Kit Siang mempersoalkan keputusan Speaker Pandikar Amin Mulia membenarkan Perdana Menteri Najib Razak membentangkan laporan persempadanan semula. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mac, 2018.
Iklan

SIDANG Dewan Rakyat ditangguhkan sebentar tengah hari tadi selepas Lim Kit Siang enggan keluar dewan walaupun diarahkan berbuat demikian oleh Speaker Pandikar Amin Mulia.

Pandikar mengarahkan Lim keluar dewan selepas Ahli Parlimen Gelang Patah itu terus melawan speaker, enggan patuh pada keputusan yang telah beliau buat sebelum itu, dan mahu bertanyakan soalan mengenai keputusan tersebut.

Pandikar sebelum itu memutuskan untuk membenarkan Perdana Menteri Najib Razak membentangkan laporan persempadanan semula bahagian pilihan raya untuk dibahaskan oleh Dewan Rakyat walaupun beberapa ahli Parlimen pembangkang menimbulkan persoalan mengenai kesahan usul itu.

“Sekali lagi berdiri saya akan gunakan kuasa, masing-masing tahu peraturan mesyuarat, keputusan speaker adalah muktamad. 

“Sesiapa yang tidak bersetuju dengan keputusan speaker boleh kemuka usul persendirian silakan buat. Semua ada dalam peraturan mesyuarat. Jangan lengah-lengahkan lagi mesyuarat ini. Siapa ganggu saya tidak beri amaran lagi,” kata Pandikar.

Dewan Rakyat sebelum itu kecoh selama lebih 20 minit selepas Charles Santiago (Klang-DAP) bangun bertanyakan alasan Pandikar menolak soalannya berkaitan usul berkenaan.

Pandikar mendakwa beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan cuba melengah-lengahkan usul persempadanan semula itu daripada dibacakan oleh Perdana Menteri dengan membangkitkan soalan dan meminta penjelasan daripada beliau.

Wakil-wakil rakyat pembangkang itu enggan duduk walaupun diarahkan berkali-kali oleh Pandikar, sehingga mencetuskan perang mulut antara blok pembangkang dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Keadaan tegang sehingga Pandikar mengeluh tindakan ahli-ahli Parlimen kedua-dua blok itu menyebabkan kesihatannya “terganggu”.

“Di depan sebelah kiri saya (blok pembangkang) pakar undang undang, begitu juga di sebelah kanan saya (bahagian BN)... tapi sengaja mahu ganggu kesihatan saya,” kata Pandikar.

Pandikan kemudian memberi amaran akan menggunakan kuasa yang ada padanya seperti yang diperuntukkan di bawah peraturan Dewan Rakyat mengarahkan mana-mana ahli Parlimen yang masih berdegil dan enggan bekerjasama keluar daripada sidang Dewan.

Namun begitu, beberapa ahli Parlimen masih lagi berdiri dan menyerang satu sama lain dan enggan menurut arahan Pandikar.

“Sekali lagi berdiri saya akan gunakan kuasa, masing-masing tahu peraturan mesyuarat, keputusan speaker adalah muktamad. 

“Sesiapa yang tidak bersetuju dengan keputusan speaker boleh kemuka usul persendirian silakan buat. Semua ada dalam peraturan mesyuarat. Jangan lengah-lengahkan lagi mesyuarat ini. Siapa ganggu saya tidak beri amaran lagi,” kata Pandikar.

Sejurus selepas itu, Lim bangun dan berkata: “Saya mahu tanya sahaja. Apa peruntukan dalam Perlembagaan untuk gunakan kuasa embargo”.

Lim merujuk kepada keputusan Pandikar minggu lalu tidak membenarkan dokumen laporan persempadanan semula berkenaan didedahkan kepada umum sehingga ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

Tindakan Lim itu menyebabkan Pandikar menggunakan kuasanya sebagai speaker.

“Saya sekarang minta menteri untuk buat usul terhadap Gelang Patah,” arah Pandikar. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said kemudiannya membuat usul mengikut Peraturan Mesyuarat 44(3) menyebut nama Lim untuk digantung dari Dewan Rakyat selama enam bulan. Usul berkenaan disokong oleh Ahli Parlimen Muar Razali Ibrahim.

Dewan Rakyat sekali lagi kecoh apabila ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan mendesak usul berkenaan dibahaskan.

Pandikar kemudian menangguhkan sidang dewan.

Apabila Dewan Rakyat bersidang semula lebih kurang 20 minit kemudian, Lim kembali ke tempat duduknya dan dibenarkan mengikuti pembentangan usul persempadanan semula oleh Najib. 

Dewan pada sebelah petang membahaskan usul itu dan akan mengundi selepas tamat perbahasan. – 28 Mac, 2018.

Iklan
Iklan