Iklan

Najib bentang usul sempadan semula pilihan raya

Parliament 20180328 03
Perdana Menteri Najib Razak membentangkan usul persempadanan semula bahagian pilihan raya hari ini di Dewan Rakyat, walaupun menerima bantahan pelbagai ahli Parlimen pembangkang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mac, 2018.
Iklan

PERDANA Menteri Najib Razak hari ini berjaya membentangkan kajian persempadanan semula pilihan raya di Dewan Rakyat walaupun menerima bantahan daripada ahli Parlimen pembangkang.

Najib membentangkan usul persempadanan semula itu apabila Dewan Rakyat bersambung semula selepas berhenti rehat ekoran kekecohan yang berlaku akibat bantahan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Kekecohan itu menyaksikan ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang digantung enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Najib ketika membentangkan usul itu berkata adalah tidak berasas untuk mengatakan syor persempadan semula itu memberi kelebihan kepada satu pihak sahaja.

“Dengan demikian adalah diharapkan agar syor-syor tersebut dapat membantu wakil-wakil rakyat untuk menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap dan berkesan kepada semua pemilih di dalam bahagian pilihan raya masing-masing.

“Ini memberi kelebihan kepada wakil-wakil rakyat untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan masing-masing sekaligus menafikan persepsi dan dakwaan yang tidak benar lagi berasas bahawa syor-syor ini hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja,” kata Najib.

Usul berkenaan kemudiannya disokong oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia kemudiannya menetapkan setiap ahli Parlimen diberikan tempoh 10 minit untuk berbahas tetapi dibantah ahli Parlimen PH.

Pandikar menetapkan lima ahli Parlimen PH dan enam ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dibenarkan untuk membahaskan usul tersebut.

Sesi perbahasan kemudiannya dimulakan Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Zohdi. – 28 Mac, 2018.

Iklan
Iklan