DAP cabar MCA, MIC, Gerakan tolak usul persempadanan semula
Iklan
PEMIMPIN DAP hari ini mencabar ahli Parlimen dari parti komponen Barisan Nasional supaya menolak usul persempadanan semula kerana kawasan baru pilihan raya dilihat merampas kawasan yang selama ini ditandingi mereka.
Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming berkata, ini kerana beberapa kawasan yang terlibat dalam persempadanan semula itu sebelum ini merupakan kawasan berbilang kaum yang ditandingi oleh parti komponen BN sama ada MCA, Gerakan dan MIC.
Namun, kawasan yang ditandingi oleh ketiga-tiga parti itu pada pilihan raya umum sebelum ini kemungkinan besar akan dirampas Umno.
“Saya ingin beri cabaran kepada ahli Parlimen dari MCA, Gerakan dan MIC selepas syor pertama telah dikeluarkan, saya telah baca dalam banyak laporan akhbar dan banyak forum bahawa MCA, Gerakan dan MIC termasuk pemimpin dan presiden parti-parti berikut tidak bersetuju dengan persempadanan semula kerana ia bersifat perkauman dan telah mengurangkan kawasan pilihan berbilang kaum atau ‘heterogeneous constituency’.
“Ini berbahaya. Menurut pemimpin MCA, Gerakan dan MIC kerana ia boleh meningkatkan polarasasi perkauman di negara ini,” katanya ketika sesi perbahasan usul persempadanan semula di Dewan Rakyat hari ini.
Ong memberi contoh beberapa kawasan yang memberi kesan terhadap parti gabungan BN itu.
Antaranya ialah Lumut, Kapar, Subang dan Puchong.
Beliau merujuk kepada Subang dan Puchong yang merupakan kawasan bandar di Selangor yang mempunyai perbezaan ketara jumlah pengundi.
“Tempat ini kawasan bandar. Saya nak tanya perdana menteri kenapa kawasan ini ada percanggahan begitu besar - 45,000 lebih perbezaan di mana Subang lebih daripada Puchong saya rasa perlu penjelasan lebih mendalam lagi dan menunjukkan sekali lagi bahawa SPR tak patuhi ‘one man one vote principal’ untuk kawasan di bandar juga,” katanya. – 28 Mac, 2018.