BN guna gerrymandering terbalik manipulasi sistem demokrasi, dakwa Guan Eng
Iklan
KETUA Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mendakwa Barisan Nasional (BN) mengambil kesempatan melalui sistem demokrasi dengan menggunakan “gerrymandering terbalik” di Pulau Pinang bagi memilih pengundi.
Lim (Bagan-DAP) berkata, dalam sistem demokrasi pengundi bertanggungjawab memilih ahli politik namun melalui persempadanan semula yang dilakukan Suruhanjaya Piliham Raya (SPR), BN menyusun pengundi di satu-satu kawasan tertentu.
“Kalau nak buat persempadan semula mengapa ia tidak dijalankan di Pulau Pinang, ini ‘gerrymandering’ secara terbalik.
“Ini mengingatkan saya, bila kita sebut satu sistem demokrasi, pengundi memilih ahli politik, dalam gerrymandering BN pilih pengundi,” kata Lim ketika membahaskan usul persempadanan semula di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, melalui persempadanan semula yang dilakukan, bilangan pengundi di kerusi DUN Air Putih yang disandangnya dikurangkan daripada hampir 15,000 pengundi kepada 12,572 pengundi.
“Bagi Pulau Pinang kita lihat gerrymandering secara terbalik, ada kawasan pilihan raya Dewan Negeri bilangan pengundi amat rendah tidak ditambah tetapi dikurangkan lagi, contohnya kawasan saya ada hampir 15,000, tetapi sekarang dikurangkan kepada 12,572 undi. Ini tak adil berbanding DUN sebelah saya, Paya Terubung.
“Paya Terubung ada pengundi paling ramai, lebih 14,000 pengundi, hampir tiga setengah undi dari kawasan Air Putih,” katanya.
Tambahnya lagi, walaupun kedua-dua kawasan itu dimenangi Pakatan Harapan (PH), beliau berpendapat tindakan itu adalah tidak adil.
“Walaupun kedua-dua DUN kawasan dimenangi parti saya di bawah Pakatan…tetapi kami rasa tidak adil,” kata Lim lagi.
Beliau juga berpendapat persempadanan semula itu juga memberikan kelebihan buat BN berbanding PH.
“Tapi untuk pihak kami (pembangkang) akan jadi lebih sukar, ini beri kelebihan kepada parti pemerintah,” katanya.
Usul persempadanam semula dibentangkan Perdana Menteri Najib Razak di Parlimen hari ini dan penggulungan dilakukan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Undi belah bahagi juga dilaksanakan untuk menentukam sama ada usul berkenaan akan diluluskan atau sebaliknya. – 28 Mac, 2018.