Iklan

PRN untuk bentuk kerajaan negeri, bukannya pusat, kata Loke

Diyana Ibrahima year ago3rd Aug 2023Berita
Pakatan harapan flag tanjung piai nov 2019
Iklan

DAKWAAN Perikatan Nasional (PN) boleh menumbangkan kerajaan pusat jika ia menang enam pilihan raya negeri (PRN) hanyalah angan-angan parti pembangkang itu, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Beliau berkata sentimen yang dimainkan PN itu tidak masuk akal kerana PRN yang diadakan ketika ini adalah untuk membentuk kerajaan negeri dan bukannya kerajaan pusat.

Tegasnya, kerajaan perpaduan yang dibentuk daripada gabungan parti, PN, Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah sangat kukuh dan stabil dan tidak boleh digugat mana-mana pihak.

“Kalau hendak tukar kerajaan pusat perlu buat di Parlimen tapi untuk PRN ini adalah untuk membentuk kerajaan negeri.

“Dan sepanjang berkempen kita tengok semua parti daripada kerajaan perpaduan tunjuk komitmen yang cukup tinggi terutama GPS dan GRS,” katanya pada sidang media selepas selepas program turun padangnya di Kuala Terengganu hari ini.

Tambah menteri pengangkutan itu, komitmen yang ditunjukkan pemimpin GPS dan GRS yang hadir pada hari penamaan untuk mengiringi calon PH sudah membuktikan kerajaan perpaduan hari ini mendapat sokongan penuh daripada rakan gabungan mereka.

“Apabila kedua pemimpin besar ini turun ia memberi petanda yang kerajaan pusat tidak ke mana, akan terus kukuh (was here to stay).

“Jadi, kenyataan mereka betul-betul bertepuk sebelah tangan sahaja dan hanya angan-angan kosong,” katanya.

Justeru, beliau yakin rakyat boleh menilai PN sebenarnya tidak ikhlas untuk membangunkan negeri sebaliknya hanya mementingkan cubaan untuk merampas kuasa di peringkat persekutuan.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin beberapa kali dalam ceramahnya mendakwa akan berlaku perubahan kerajaan pusat sekiranya PN memenangi PRN di enam negeri.

Manakala bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad meramalkan PN boleh menang mudah di lima negeri pada PRN kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi enam negeri Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan ialah pada 12 Ogos ini. – 3 Ogos, 2023.

Iklan
Iklan