Iklan

Muda yakin menang DUN Bandar

Diyana Ibrahima year ago4th Aug 2023Berita
Dscf0002
Calon Muda untuk DUN Bandar Luqman Long berkata jentera parti di Terengganu mungkin tidak sekuat parti lain tetapi kelemahan itu bukan penghalang Muda mencipta sejarah menang di kerusi itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2023.
Iklan

MUDA yakin menang kerusi DUN Bandar, satu-satunya kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu, berdasarkan sokongan baik pengundi muda, kata calonnya Luqman Long.

Bandar ialah satu daripada empat kerusi negeri bawah kawasan Parlimen Kuala Terengganu, yang juga dipertandingkan serentak pada 12 Ogos ini susulan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan calon PAS Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia adalah campuran 64% pengundi Melayu dan 35% pengundi Cina. Daripada keseluruhan 22,052 pengundi berdaftar untuk PRN, 30% daripada mereka berumur bawah 40 tahun.

Luqman berkata beliau tidak menyangka pencalonannya mendapat sokongan yang cukup baik daripada anak muda yang menawarkan diri jadi sukarelawan kempen Muda. Daripada asal hanya tiga orang, pasukan kempennya kini disertai 30 sukarelawan.

“Mereka ini ada yang dari Kampung Cina, dari Hiliran malah yang bukan dari kawasan ini pun ada seperti di Kuala Nerus, ada yang datang tolong setiap hari.

“Ada yang bekerja siang tapi setiap malam akan tolong kita berkempen. Ada yang minta cuti dari praktikal semata-mata untuk tolong kita kempen,” katanya, yang juga ketua penerangan Muda.

Luqman bersama Armi Irzan Mohd dari Barisan Nasional mencabar penyandang DUN Bandar Ahmad Shah Muhamed dari PAS.

Walaupun mengakui jentera partinya di Terengganu tidak sekuat parti politik lain, kelemahan itu bukan penghalang untuk Muda mencipta sejarah menang kerusi DUN Bandar.

“Biarpun orang kata jentera kita lemah tapi pengalaman saya sendiri sewaktu membantu kempen Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar kita mula hanya dengan 10 orang sukarelawan saja dan berjaya tumbang kerajaan Umno di Johor.

“Sama juga semasa kita menang di Puteri Wangsa, kita hanya bermula dengan lima orang sahaja sukarelawan, di hujungnya kita ada 200 sukarelawan, jadi harapan sama juga di Terengganu. Saya yakin anak mudanya sangat cakna dengan politik,” katanya.

Luqman menolak tanggapan Muda bertanding untuk memecahkan undi di kerusi DUN Bandar sebaliknya mereka mahu menang.

“Sasaran saya di Bandar bukan sahaja pengundi bukan melayu tetapi pengundi yang mahu perubahan dan yang sudah penat dengan dua blok parti besar iaitu Umno dan PAS… dua parti yang sering bertukar tapi malangnya tidak ada perubahan yang dirasai anak Terengganu, sebab itu fokus saya untuk menang.

“Saya percaya boleh menang jika saya membawa isu yang dekat di hati pengundi, seperti pekerjaan, gaji bermaruah, peluang anak muda berniaga. Isu ini sangat penting dan sering dibangkitkan sepanjang saya mendekati komuniti di sini,” katanya.

Muda menolak tanggapan ia bertanding untuk memecahkan undi di kerusi DUN Bandar sebaliknya mereka mahu menang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2023.

Pelajar undang-undang Tan Kim Shing, 21, adalah antara sukarelawan yang menawarkan diri membantu kempen Muda di kerusi DUN Bandar.

Anak jati Kampung Cina, Kuala Terengganu itu yang sedang dalam tempoh praktikal di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur memohon cuti dua minggu untuk menjadi sukarelawan Muda.

“Saya memang memilih Muda berbanding parti lain kerana ideologi parti itu dan kekuatan calon itu sendiri,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di bilik gerakan Muda di Kampung Cina.

Tan memuji pendekatan Muda berkempen bukan dengan sentimen kaum dan agama sebaliknya mengangkat isu setempat yang dihadapi penduduk.

“Sebab itu saya memilih untuk menyertai pasukan Luqman, sekurang-kurangnya saya sebagai anak tempatan akan sedaya upaya cuba membantu Luqman sepanjang tempoh kempen ini.

“Saya nak melihat perjuangan untuk memberi nafas baharu  kerusi DUN Bandar atau Terengganu itu sendiri tercapai,” katanya.

Sementara itu, Luqman berkata jika menang kerusi DUN Bandar beliau tidak berniat menyertai mana-mana blok parti politik sebaliknya akan menjadi semak dan imbang kepada pentadbiran kerajaan negeri.

“Walaupun seorang saya boleh beri semak dan imbang,” katanya, merujuk presiden partinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menjadi wakil tunggal parti di Dewan Rakyat.

“Kalau Syed Saddiq boleh buat saya percaya saya boleh buat,” katanya. – 4 Ogos, 2023.

Iklan
Iklan