Buat semakan elak penipuan pakej pelancongan, kata pengusaha
Iklan
PENGUSAHA industri pelancongan memberi amaran peningkatan jumlah penipuan seiring dengan kadar pemulihan sektor pelancongan.
Amaran itu disokong oleh data daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kerana aduan yang diterima mengenai penipuan, jenayah dan ketidakpatuhan perintah di bawah pengawasan kementerian mengenai pakej pelancongan dan haji meningkat dua kali ganda kepada 85% dalam separuh pertama tahun ini sahaja berbanding 2022.
Satu mesej mudah industri ialah: Jangan rosakkan rancangan percutian anda. Waspada dan berhati-hati terhadap tawaran perjalanan yang terlalu bagus untuk menjadi kenyataan.
“Pasti akan ada lebih banyak penipuan,” kata Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Paul Paw kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata pengembara perlu lebih berhati-hati dengan siapa mereka beli pakej pelancongan.
“Periksa ejen pelancongan. Adakah mereka berlesen? Adakah mereka berkelayakan? Apakah latar belakang mereka?”
Paw berkata malah ejen pelancongan berlesen juga boleh “hilang tanpa kesan” selepas menerima bayaran.
Beliau berkata “ejen berlesen” seperti ini biasanya mereka yang mengiklankan perkhidmatan dan pakej pelancongan mereka dalam talian.
“Kamu akan tahu ditipu apabila sampai di tempat yang diarahkan untuk berkumpul dan tiada siapa yang muncul,” kata Paw.
Paw berkata adalah lebih baik bagi pengembara pergi ke pameran pelancongan dan berbincang terus dengan syarikat berkenaan mengenai tawaran dan pakej mereka.
Beliau berkata syarikat yang menyertai pameran ini adalah sah yang telah melepasi pemeriksaan kelayakan yang ketat.
Pengerusi MCTA Johor Edwin Tay Kian Chuan juga menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati apabila membeli pakej pelancongan dalam talian.
Sudah tentu mudah dan tidak bersusah payah untuk melakukan transaksi dalam talian, katanya, tetapi adakah mereka mengenali orang atau syarikat yang mereka berurusan?
“Buat sedikit kajian. Semak latar belakang syarikat.
“Adakah mereka syarikat berlesen, sudah berapa lama mereka berada dalam industri? Ini semua sangat penting jika mereka (pengguna) tidak mahu ditipu.”
Tay berkata perlu wujudkan lebih banyak kesedaran serta mencadangkan Kementerian Pelancongan bekerjasama dengan industri untuk menghasilkan filem pendek atau video untuk dimuat naik di pelbagai platform media sosial mengenai penipuan iklan pelancongan dalam talian. – 5 Ogos, 2023.
Berita penuh di sini.