Beri sebab ketua pendakwaraya kes Zahid tak hadir mahkamah, kata Bersatu

Iklan
PEMIMPIN Bersatu Sasha Lyna Abdul Latif menggesa Kerajaan termasuk Jabatan Peguam Negara menjelaskan ketidakhadiran Raja Rozela Raja Toran, ketua pendakwaraya kes Ahmad Zahid Hamidi.
Sasha merujuk laporan yang mendakwa Raja Rozela tidak hadir di mahkamah sejak Isnin lalu dan dikhabarkan telah diganti.
“Kes korupsi terhadap Zahid yang melibatkan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akal Budi menyaksikan soal balas tegang dengan Zahid semasa perbicaraan. Raja Rozela sangat tegas dan komited dalam tingkah lakunya sebagai pendakwaraya, sebelum dan selepas Zahid menjadi timbalan perdana menteri Kerajaan Madani.
“Pendakwaan terhadap timbalan perdana menteri adalah isu berkepentingan awam. Ia perlu dilihat dilakukan secara bebas dan telus tanpa sebarang campur tangan,” katanya.
New Straits Times melaporkan yang Raja Rozela yang menguruskan kes itu sejak sebelum bicara tidak hadir di mahkamah apabila perbicaraan mula bersambung Isnin lepas.
Usaha untuk mendapatkan penjelasan mengenai status Raja Rozela dalam kes itu juga tidak menerima jawapan daripada pendakwaraya yang kini mengambil alih kes itu.
The Malaysian Insight juga turut berusaha mendapatkan ulasan Peguam Negara Idrus Harun tentang isu ini.
Beliau bagaimanapun masih belum memberikan sebarang komen.
Raja Rozela sebelum ini beberapa kali melakukan soal balas tegang kepada Zahid di mahkamah, termasuk memberitahunya yang “politik dan wang tidak dapat dipisahkan.”
Mengulas lanjut, Sasha berkata tindakan menggantikan Raja Rozela tanpa sebarang sebab diberikan kepada rakyat dan mahkamah sangat tidak boleh diterima.
Tambahnya, rakyat berhak mendapatkan penjelasan mengapa pendakwaraya yang dikenali ramai mempunyai etika kerja yang baik itu tiba-tiba ditarik keluar daripada kes itu.
“Keadilan bukan hanya perlu dilakukan, ia perlu dilihat dibuat. Pendakwaraya Malaysia perlu menjalankan kerja mereka sehingga habis tanpa mengira status orang yang dituduh.
“Saya menggesa peguam negara dan Kerajaan memberikan penjelasan serta merta kepada rakyat termasuk sebab munasabah untuk pemindahan atau penggantian Raja Rozela. Ini mustahak bagi mengekalkan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman kita,” katanya.
Zahid, 70, berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, korupsi dan penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi dan diarahkan membela diri untuk kesemua pertuduhan tersebut.
Perbicaraan dijalankan dihadapan Hakim Collian Lawrence Sequerah, hakim Mahkamah Rayuan yang mengadili kes itu sebagai hakim mahkamah tinggi disambung semula pada Isnin lalu. – 5 Ogos, 2023.