Iklan

Kalau masih dalam Umno, saya lawan Zahid, kata Muhyiddin

Diyana Ibrahima year ago7th Aug 2023Berita
Muhyiddin yassin
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata Ahmad Zahid Hamidi secara terang-terangan melanggar perlembagaan Umno kerana membuat kerjasama dengan Pakatan Harapan sekali gus membenarkan kerjasama dengan DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos 2023.
Iklan

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin berkata sekiranya beliau ahli Umno, beliau akan mencari jalan untuk menumbang presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Zahid secara terang-terangan melanggar perlembagaan parti kerana membuat kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sekali gus membenarkan kerjasama dengan DAP.

“Kalau saya dalam Umno saya akan cari jalan untuk tumbangkan Zahid kerana Zahid sudah melanggar perlembagaan Umno.

“Beliau telah membawa musibah dan bencana kepada Umno,” katanya ketika berucap pada program santai mesra di Kuala Nerus, hari ini.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata pengundi Melayu dan ahli Umno perlu meninggalkan Umno kerana parti itu sudah tersasar daripada matlamat perjuangannya.

“Apakah kita pengundi orang Melayu ini sama ada dalam Umno atau pengundi Melayu dalam Umno nak mempertahankan perkara itu? Jawabnya tidak.

“Sudah sampai masa lupakan Umno, sudah sampai masa tak payah dengar apa pemimpin mereka kata, mereka yang duduk dalam kerajaan tapi tidak buat apa,” katanya.

Pada masa sama Muhyiddin menyeru rakyat Malaysia menolak kerajaan persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim kerana selaku perdana menteri beliau gagal mengurus masalah negara.

Katanya, mereka akan menghantar isyarat yang jelas kepada Anwar bahawa rakyat menolak kepimpinannya sebagai menteri sekiranya majoriti daripada 9.7 juta pengundi yang memilih pada Sabtu ini mengundi PN.

“Apabila sampai keputusan diumum kata 9.7 juta pengundi di seluruh enam negeri PRN ini, kalau kita tak dapat semua tapi dapat tujuh juta pengundi, ia jadi isyarat yang rakyat Malaysia tidak mahu Anwar sebagai perdana menteri,” katanya.

Minggu lepas, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke membidas dakwaan PN bahawa mereka boleh menumbangkan kerajaan pusat sekiranya menang dalam enam pilihan raya negeri ini.

Beliau menyifatkan sentimen yang dimainkan oleh PN tidak masuk akan kerana pilihan raya ini untuk memilih kerajaan negeri dan bukannya kerajaan pusat. – 7 Ogos 2023.

Iklan
Iklan