Iklan

Wakil rakyat Bersatu akan dilantik exco, kata Ahmad Samsuri

Diyana Ibrahima year ago13th Aug 2023Berita
52327613397 bee5f9ee45 c
Senarai anggota exco kerajaan negeri Terengganu akan dilengkapkan dalam tempoh seminggu, kata penyandang menteri besar Ahmad Samsuri Mokhtar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2023.
Iklan

WAKIL rakyat Bersatu akan menyertai barisan pentadbiran baharu kerajaan negeri Terengganu, kata penyandang menteri besar Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata senarai anggota exco kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu akan diselesaikan dalam tempoh seminggu.

“Kita masih dalam pertimbangan dengan teliti kerana kita sekarang menjadi sebuah parti muafakat politik dalam PN.

“Jadi tentulah ada pertimbangan dan penambahbaikan dalam portfolio yang perlu diharmonikan.

“Jadi kita akan ambil masa teliti balik kedudukan portfolio ini dan sudah tentu akan ada wakil Bersatu,” katanya kepada pemberita di Masjid Rusila, Marang hari ini.

Pada masa sama Samsuri yang turut berjaya mengekalkan kerusi Ru Rendang berkata PN masih lagi belum menerima tarikh khusus angkat sumpah jawatan daripada pihak Istana.

Katanya ia tertakluk kepada perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Presiden PAS akan mulakan proses untuk bawa surat dan akan dipersembahkan kepada Tuanku tentang cadangan barisan kepimpinan negeri.

“Tarikh angkat sumpah tertakluk kepada Istana,” katanya.

Gabungan PN menyapu bersih 32 kerusi DUN Terengganu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Ia membolehkan PN mengekalkan pentadbiran di Terengganu bagi penggal kedua.

PAS kembali menguasai Terengganu selepas menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 pada 2018. – 13 Ogos, 2023.

Menyusul

Iklan
Iklan