Iklan

Pandikar tak pedulikan Kit Siang yang jadi ‘hantu’ Dewan Rakyat

Kamles KumarMelati A. Jalil7 years ago29th Mar 2018Berita
Redelination 20180328 tmihasnoor 007
Kehadiran Lim Kit Siang di Dewan Rakyat hari ini tidak dipedulikan kakitangan Dewan Rakyat dan politikus Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.
Iklan

KEHADIRAN Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang di Dewan Rakyat hari ini tidak dipedulikan Speaker Pandikar Amin Mulia yang berpura-pura wakil rakyat pembangkang itu tidak berada di situ selepas digantung enam bulan daripada menghadiri sidang Parlimen semalam.

Apabila ditanya Che Mohamad Zaulkifly Jusoh (BN- Setiu) untuk mengambil tindakan ke atas Lim kerana menghadiri persidangan hari ini walaupun digantung, Pandikar menjawab beliau “tutup mata”.

“Saya sudah kata sebelum ini yang pada padangan saya adalah untuk minta polis masuk dan angkat (Lim) keluar, tetapi saya tak mahu buat kerana saya tak mahu media asing nampak Parlimen Malaysia tiada adab.

“Speaker dan timbalannya, kami tutup mata, kami tak nampak orang yang sudah diarahkan keluar,” kata Pandikar.

“Saya tak nampak Gelang Patah sebab jika saya nampak dia saya terpaksa arahkan dia keluar (Dewan Rakyat) lagi,” katanya walaupun Lim hadir di situ.

Semalam, Lim digantung enam bulan kerana membuat gangguan ketika Perdana Menteri Najib Razak hendak mula membentangkan laporan persempadanan semula dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Selepas mengabaikan Lim, Pandikar meneruskan persidangan walaupun Lim terus mempersoalkan penggantungannya itu.

Lim juga tidak dipedulikan oleh Menteri Noh Omar yang membentangkan usul.

Noh memanggil Lim hantu.

“Saya dengar suara tetapi saya tak nampak sesiapa, sebab hantu tak faham arahan mudah,” katanya.

Ini membangkitkan bantahan M. Kulasegaran (DAP- Ipoh Barat) yang mendesak Noh menarik balik kenyataan itu.

Pandikar tidak mempedulikan bantahan ahli Parlimen pembangkang dan mengarahkan persidangan diteruskan sehingga waktu rehat makan tengah hari.

Dalam sidang media selepas itu, Lim mengatakan walaupun berada dalam dewan, beliau tidak dipedulikan speaker dan pegawai.

“Mereka tak pedulikan saya langsung. Nampaknya saya dah jadi hantu ahli Parlimen. Ia gambaran buruk tentang Umno dan BN.”

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Anthony Loke berkata usul terhadap Lim tidak boleh diterima kerana tiada pengundian.

“Setakat yang kami tahu, usul menggantung Kit Siang tak pernah diluluskan.

“Jika ia tak pernah diluluskan, beliau tak pernah digantung,” kata wakil rakyat Seremban itu. – 29 Mac, 2018.

Iklan
Iklan