Iklan

Nur Jazlan patut galak rakyat Malaysia di luar negara balik mengundi

Asila Jalil7 years ago29th Mar 2018Berita
Maid abuse 20180329 tmihasnoor 006
Pemangku Pengerusi Bersih Shahrul Aman Mohd Saari berkata kritikan menteri itu terhadap pengumuman Cathay Pacific untuk mengenepikan caj tempahan semula tiket atau penukaran laluan untuk penerbangannya sempena PRU14 seperti membantah rakyat Malaysia balik mengundi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Mac, 2018.
Iklan

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed sepatutnya menggalakkan rakyat Malaysia di luar negara balik mengundi, dan bukannya menyelar rancangan Cathay Pacific untuk mengenepikan caj tempahan semula tiket atau penukaran laluan untuk penerbangannya sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Pemangku Pengerusi Bersih Shahrul Aman Mohd Saari.

Menurut Shahrul, Nur Jazlan seperti membantah idea untuk rakyat Malaysia yang berada di luar negara balik mengundi pada PRU14.

“Agak kelakar bagi seorang menteri untuk bercakap macam itu. Beliau sepatutnya tidak campur tangan dalam urusan Cathay Pacific.

“Beliau tak sepatutnya membuat komen sedemikian yang pada saya sebagai cara untuk menghalang rakyat balik (ke Malaysia) dan mengundi,” Shahrul berkata hari ini.

Syarikat yang berpangkalan di Hong Kong itu mengumumkan akan mengenepikan caj tempahan semula tiket atau penukaran laluan untuk penerbangannya sempena PRU14.

Menurut notis dikeluarkan oleh Cathay Pacific dalam laman sesawangnya, pengenepian itu untuk semua penerbangan Cathay Pacific dan Cathay Dragon yang dikeluarkan di Malaysia.

Pengetepian bayaran itu bagaimanapun hanya tertakluk jika tarikh perjalanan jatuh pada tarikh pembuangan undi, akan diberikan kepada penumpang warganegara Malaysia tanpa mengira jenis tambang.

Nur Jazlan kemudian mengkritik pengumuman tersebut di akaun Twitter beliau.– 29 Mac, 2018.

Iklan
Iklan