Iklan

Mahkamah putuskan kes Bersih cabar laporan persempadanan SPR 11 April

Asila Jalil7 years ago29th Mar 2018Berita
Persempadan semula SPR 20180329 tmihasnoor 002
Pemangku Pengerusi Bersih Shahrul Aman Mohd Saair berkata usul berkenaan laporan tersebut sepatutnya tidak dibentangkan di Parlimen semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Mac, 2018.
Iklan

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menangguhkan pendengaran semakan kehakiman yang difailkan Bersih 2.0 untuk menghentikan pembentangan laporan persempadan semula SPR di Parlimen yang berlangsung hari ini kepada 11 April. 

Keputusan itu dibuat Hakim Azimah Omar di kamarnya. 

“Hujah kedua-dua pihak telah didengar, termasuk hujah yang menyatakan sama ada ia (laporan persempadan semula) bersifat akademik dan mahkamah telah menangguhkan perkara ini kepada 11 April untuk membuat keputusan,” kata peguam Ambiga Sreenevasan. 

Ambiga berkata mereka juga akan meneliti kemungkinan pilihan raya tidak boleh dilaksanakan sementara menunggu keputusan tersebut. 

“Saya beranggapan mereka (SPR) akan menghormati mahkamah dan tidak akan berbuat apa-apa yang menjejaskan mahkamah,” katanya.

Pemangku Pengerusi Bersih Shahrul Aman Mohd Saair berkata usul berkenaan laporan tersebut sepatutnya tidak dibentangkan di Parlimen semalam. 

“Kami harap perdana menteri (Najib Razak) tidak akan bubarkan Parlimen kerana kes berkenaan masih dalam perbicaraan,” katanya. 

Pada 21 Mac lepas, seramai 107 orang, yang mewakili lebih daripada 10,000 pengundi di Selangor, memfailkan permohonan untuk menghentikan pembentangan laporan semakan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Parlimen.

Shahrul berkata 107 pemohon mewakili lebih 10,000 pengundi dari 17 kerusi negeri dan 11 kerusi Parlimen.

Semalam, Dewan Rakyat menerima usul persempadan semula kawasan pilihan raya untuk dibentangkan.  – 29 Mac, 2018.

Iklan
Iklan