Tindakan Putrajaya kekang berita palsu tidak salah, kata ahli akademik

Iklan
PUTRAJAYA tidak salah apabila mengambil tindakan terhadap kandungan dalam talian yang berunsur fitnah, palsu atau berniat jahat, kata seorang ahli akademik.
Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata tindakan seperti menyekat atau menggantung akaun media sosial atau portal dalam talian dalam kes sedemikian tidak seharusnya dilihat sebagai tanda penindasan.
Malah, beliau memberitahu The Malaysian Insight, kerajaan mempunyai hak untuk mengeluarkan kandungan yang menyinggung perasaan itu kerana ia akan membawa kepada maklumat salah.
Beberapa minggu kebelakangan ini, terdapat beberapa portal berita mendakwa perkhidmatan mereka disekat oleh pihak berkuasa.
Kesemua portal ini mendakwa mereka menjadi sasaran sebagai pengkritik kerajaan.
Antara yang terjejas ialah MalaysiaNow, MalaysiaToday, UtusanTV dan TV Pertiwi.
Pada masa sama, beberapa individu juga mendakwa akaun media sosial mereka digantung atau dipadamkan.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menafikan memberi sebarang arahan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau mana-mana platform media sosial untuk bertindak terhadap sesiapa.
Mazlan berkata kebebasan bersuara ada had dan kritikan tidak boleh dijadikan alasan untuk memfitnah sesiapa secara membabi buta.
“Ruang untuk bersuara bukannya mengecil. Kritikan tidak mengapa tetapi bukan memfitnah atau bercakap bohong. Kerajaan perlu bertindak dan saya tidak nampak salahnya tindakan menurunkan mana-mana kandungan artikel.
“Ia adalah perkara yang rasional untuk dilakukan. Sebagai contoh, baru-baru ini, ada yang menuduh Anwar Ibrahim menambah perkataan ‘liberal’ dalam Rukun Negara kita. Sebenarnya, perkataan itu suda ada selama bertahun-tahun.
“Kebebasan bersuara bukanlah hak untuk memfitnah seseorang. Tindakan perlu diambil,” katanya.
Balas dengan maklumat
Bagaimanapun, Pengarah Program Iman Research Badrul Hisham Ismail tidak bersetuju yang kerajaan bebas untuk mengambil tindakan drastik tersebut.
Beliau berkata kerajaan sepatutnya membiarkan sahaja kandungannya tetapi mesti memberikan penjelasan terperinci untuk menentang naratif itu.
“SKMM melakukan perkara yang tidak pernah mereka lakukan sebelum ini. Pada Mac tahun ini, mereka mengarahkan platform penstriman Viu menarik balik filem tempatan ‘Mentega Terbang’. Dan kemudian kerajaan mengharamkan filem ‘Pulau’ di pawagam.
“Kini mereka menutup UtusanTV dan meminta Twitter membuang siaran tertentu. Ini adalah penindasan.
“Kerajaan harus memberi penjelasan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyiarkan kandungan berbahaya di bawah undang-undang sedia ada.
“Biar undang-undang dilaksanakan. Setiap individu mempunyai hak untuk bercakap dan jika anda tidak bersetuju, berhujah dengan fakta. Itulah sebabnya kita harus menggalakkan perdebatan. Biar rakyat yang tentukan,” kata Badrul.
Tambahnya, agensi kerajaan seperti J-KOM (Jabatan Komunikasi Komuniti) perlu memperhebatkan lagi usaha menyalurkan maklumat sebenar.
“Saya masih ingat bagaimana Annuar Musa semasa menjadi menteri berkata di Parlimen bahawa bukan tugas kerajaan menurunkan kandungan di Internet apabila menjawab seorang ahli Parlimen PAS mengenai Netflix.
“Jadi J-KOM sebagai agensi yang bertanggungjawab ke atas komunikasi kerajaan harus menjawab soalan dan memberikan fakta kepada rakyat,” katanya. – 29 Ogos, 2023.