Iklan

Timbalan presiden Muda heret ROS Selangor ke mahkamah

Noel Achariama year ago1st Sep 2023Berita
Amira aisya muda tmikamal 05
Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz mengheret ROS Selangor ke mahkamah berhubung dakwaan dirinya disenarai hitam daripada mendaftar persatuan baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2023.
Iklan

TIMBALAN Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz mengheret Pendaftar Pertubuhan (ROS) Selangor ke mahkamah berhubung dakwaan dirinya disenarai hitam daripada mendaftar persatuan baharu.

Amira berkata pada 18 April beliau dimaklumkan oleh ROS melalui emel bahawa permohonannya dan beberapa aktivis lain untuk mendaftarkan kumpulan masyarakat sivil Persatuan Impak Wanita Malaysia (PIWM) ditolak.

“ROS berkata, semakan mereka mendapati saya telah menyenaraikan nama saya sebagai pengerusi untuk permohonan pendaftaran PIWM.

“Mereka berkata saya disenaraihitamkan dan oleh itu tidak boleh memegang jawatan (untuk kumpulan masyarakat sivil yang dicadangkan).

“ROS tidak mempunyai sebab untuk menolak pendaftaran kerana ia adalah hak perlembagaan saya untuk mempunyai kebebasan berpersatuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Amira dalam afidavitnya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata laman web ROS menyatakan senarai hitam itu berkuat kuasa pada 28 Oktober tahun lepas di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

Seksyen itu memperkatakan kuasa ROS untuk membatalkan pendaftaran kumpulan jika ia berpuas hati bahawa pertubuhan itu dengan sengaja melanggar Akta atau peraturan berkaitan, antara lain.

Amira berkata senarai hitam itu melanggar hak asasinya untuk menubuhkan persatuan mengikut Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

“Setakat pengetahuan saya, emel daripada ROS Selangor bertarikh 18 April 2023 adalah kali pertama saya mempunyai pengetahuan dan/atau dimaklumkan berkenaan keputusan ROS menyenarai hitam pemohon.

“Saya amat terkejut bahawa responden telah berbuat demikian.

“Saya tidak pasti apakah punca sebenar saya disenaraihitamkan,” katanya.

Beliau juga tidak pasti berapa lama beliau akan disenaraihitamkan.

““Saya dilantik sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Johor atas tiket Muda.

“Keputusan ini akan menghalang saya daripada bertanding untuk mana-mana jawatan dalam Muda,” katanya dalam afidavitnya.

Peguam Amira Lim Wei Jiet berkata beliau tidak percaya ROS mempunyai kuasa untuk menyenaraihitamkan.

“Pada asasnya apa yang kami katakan ialah selama ini ROS mencipta pangkalan data untuk “senarai hitam” orang tertentu daripada membentuk persatuan dan memegang jawatan dalam masyarakat.

“Kami mengatakan tidak ada kuasa sedemikian di bawah Akta Pertubuhan untuk melakukan ini dan ini adalah ultra vires,” katanya.

Beliau turut menambah pengurusan kes akan berlangsung pada 14 September ini. – 1 September, 2023.

Iklan
Iklan