Iklan

Peniaga gesa DBKL bincang pelan peruntukan RM10 juta naik taraf gerai

Noel Achariama year ago7th Sep 2023Berita
Hawkers tmi020621
Persatuan penjaja menggesa DBKL adakan dialog awam untuk mendapatkan input sebelum menggunakan dana untuk menaik taraf gerai sekitar KL. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2023.
Iklan

PERSATUAN penjaja dan peniaga di Kuala Lumpur menggesa pihak berkuasa berbincang dengan mereka mengenai bagaimana wang RM10 juta yang diperuntukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menaik taraf gerai di bandar itu akan digunakan.

Mereka berkata jika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertanggungjawab ke atas dana itu, ia mesti menyediakan pelan bagi naik taraf itu.

“DBKL mesti mengadakan dialog awam dengan persatuan (peniaga) untuk mendapatkan input kami sebelum menggunakan dana itu.

“Kami ingin mengetahui lokaliti dan cadangan untuk kerja-kerja menaik taraf,” kata Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Kuala Lumpur Muhamad Baba Kutty kepada The Malaysian Insight.

Anwar mengumumkan tambahan RM10 juta untuk menaik taraf gerai di Kuala Lumpur selepas merasmikan Lestari Niaga@Kuala Lumpur D’Medan Selera Madani di Brickfields.

Muhamad berkata satu jawatankuasa yang terdiri daripada semua pihak berkepentingan perlu ditubuhkan untuk menangani kebimbangan penjaja.

“Kami mahu dimasukkan dalam rancangan (menaik taraf)  supaya kita semua boleh mengkaji cadangan dan mengetahui apa yang diperlukan oleh pengusaha gerai.

“Kita perlu meneliti perkara khusus berkaitan gerai seperti lokasi, reka bentuk, naik taraf, hal kewangan dan lain-lain.

“Serta penguatkuasaan terhadap warga asing yang mengendalikan gerai dan perniagaan tidak berlesen.”

Beliau berkata terdapat kira-kira 20,000 gerai di seluruh Kuala Lumpur, dan beliau tidak mahu ia menjadi berlebihan.

Muhamad berkata peniaga sedia memberi maklum balas dan cadangan mengenai naik taraf itu.

Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia Rosli Sulaiman bersetuju DBKL perlu berunding dengan pemimpin persatuan peniaga dan membincangkan naik taraf itu.

“Kami tahu apa yang perlu dilakukan untuk menaik taraf gerai,” kata Rosli.

“Kami harap DBKL tidak akan melakukan hal ini sendiri.”

Rosli berkata DBKL perlu melihat gerai usang dan yang patut diganti.

“Terdapat juga keperluan untuk medan selera yang mempunyai tandas dalam keadaan buruk dengan sinki rosak, bocor dan lain-lain.”

Memandangkan Kuala Lumpur adalah hab pelancongan, Rosli berkata DBKL perlu menaik taraf gerai di kawasan seperti Petaling Street, Bukit Bintang, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Brickfields.

Beliau berkata gerai di pasar Pudu, Chow Kit, Datuk Keramat, Kepong dan Sentul dalam keadaan teruk, dan meminta DBKL meninjau lokasi tersebut juga.

“(DBKL) juga boleh melihat untuk menaik taraf gerai di pasar malam di sekitar Kuala Lumpur.” – 7 September, 2023.

Iklan
Iklan