Iklan

Legasi Pertiwi Soup Kitchen terus hidup

Noel Achariama year ago10th Sep 2023Berita
Pertiwi soup kitchen tmi 13
Petugas Pertiwi Soup Kitchen mengagih-agihkan makanan kepada golongan gelandangan, wanita dan kanak-kanak yang memerlukan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 September, 2023.
Iklan

PENGASAS Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Abdul Hamid sudah meninggal dunia tetapi legasinya untuk mengagihkan makanan kepada gelandangan dan miskin bandar akan tetap diteruskan, kata Laili Ismail.

Penolong setiausaha Pertiwi berkata, kata-kata Munirah akan terus bergema dalam kumpulan itu iaitu sentiasa membantu rakyat walau apa cara sekalipun.

“Walaupun pemergiannya mengejutkan, kami dapat meneruskan kerjanya dengan lancar disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkannya.

“Beliau menyediakan semua aliran kerja bagi operasi ini dan kami yakin boleh meneruskannya untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Isnin lalu, Munirah meninggal dunia di rumahnya di Bangsar.

Munirah dilahirkan di Alor Setar, Kedah. Beliau bersekolah di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban sebelum mendapat ijazah undang-undang dari Universiti Malaya.

Beliau berkahwin dengan dikurniakan dua orang anak dan empat cucu.

Mereka yang mengenali wanita berusia 70 tahun itu pasti mengetahui mengenai dedikasinya dalam membantu mereka yang memerlukan sejak 50 tahun lalu.

Selepas menjalankan pelbagai program kebajikan sebelum ini, Munirah memulakan Pertiwi Soup Kitchen yang terkenal pada tahun 2010 di Kuala Lumpur.

Laili berkata, ramai mengenali Munirah yang juga mesra dengan setiap orang yang datang membantu.

Penolong setiausaha Laili Ismail berkata, legasi pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Abdul Hamid untuk memberi makan kepada gelandangan dan orang yang memerlukan akan tetap berkekalan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 September, 2023.

“Apa yang kami sangat suka, beliau seorang yang amat sistematik dan tegas tetapi mempunyai hati yang baik.

“Beliau juga seorang yang amat peramah dan pasti dirindui oleh setiap orang.”

Laili berkata, walaupun pada hari Munirah meninggal dunia, Pertiwi tetap meneruskan kerja mereka.

“Orang ramai bertanya adakah kami tidak beroperasi dan saya kata tidak, kami meneruskannya dan menyediakan makan tengah hari serta makan malam.

“Walaupun ahli kami kepenatan, kami tidak berhenti untuk berkhidmat kepada gelandangan.”

Laili berkata, menerusi platform itu Munirah berjaya menarik minat segenap lapisan masyarakat sebagai sukarelawan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Katanya, semuanya bermula sebagai operasi kecil-kecilan bersama sekumpulan rakan Munirah dan berkembang seperti sekarang, yang memberi perkhidmatan kepada ratusan gelandangan, wanita, kanak-kanak dan lain-lain.

“Kami mempunyai aliran sukarelawan dari syarikat, kumpulan masyarakat sivil, pelajar dan individu yang sentiasa datang ke sini untuk membantu.

“Kami juga berterima kasih kepada sokongan daripada semua ahli kami yang bersedia untuk terus menyokong dan melakukan apa yang perlu untuk memastikan projek ini berjalan.” – 10 September, 2023.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan