Iklan

Bekas ketua pendakwa raya kes Zahid boleh dipanggil, kata Jawatankuasa Pilihan Khas

Noel Achariama year ago13th Sep 2023Berita
Budget 2023 240223 tmiseth-8(1)
Mahkamah baru-baru ini melepaskan tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan jenayah berkaitan dana Yayasan Akalbudi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2023.
Iklan

RAJA Rozela Raja Toran, ketua pasukan pendakwaan dalam perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi boleh dipanggil ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen selepas mereka mendengar penjelasan daripada peguam negara dan bekas peguam negara mengapa pertuduhan ditarik balik dalam kes rasuah timbalan perdana menteri berkenaan, kata William Leong.

Leong yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi berkata jika ada keperluan untuk memanggil Raja Rozela, mereka akan melakukannya.

Tetapi ini katanya bergantung kepada penjelasan yang diberikan oleh Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan bekas peguam negara Idrus Harun.

Beliau menasihatkan kedua-dua mereka supaya tampil bersedia sepenuhnya apabila mereka hadir ke jawatankuasa khas itu.

“Kita akan cuba menetapkan tarikh untuk perbicaraan secepat mungkin. Kita perlu bersikap adil kepada orang yang kita panggil. Kita perlu membuat jadual waktu untuk memberi mereka masa yang cukup menyediakan dokumen.

“Kita mahu mereka bersedia sepenuhnya untuk memberi jawapan kepada kami sebab Jabatan Peguam Negara memohon dan memperoleh pelepasan tidak berjumlah pembebasan (DNAA) bagi 47 pertuduhan rasuah Zahid,” katanya.

Raja Rozela mengetuai pasukan pendakwaan sejak perbicaraan Yayasan Akalbudi Zahid bermula pada 18 November 2019 dan sepanjang pendakwaan 99 saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Beliau berjaya membuktikan kepada mahkamah semua 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) melibatkan berjuta-juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi yang diasaskan Zahid dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.

Kali terakhir Raja Rozela hadir ke mahkamah untuk kes Zahid ialah pada 10 April tahun ini iaitu apabila Mahkamah Tinggi dimaklumkan mengenai penghantaran surat representasi kedua oleh Zahid kepada peguam negara mengenai kes itu dan di mana kes itu ditangguhkan ke Ogos manakala AGC mengkaji representasinya dan menunggu keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merancang siasatan lanjut kes itu.

Raja Rozela digantikan sebagai ketua pendakwa raya pada 8 Ogos kerana beliau memohon untuk bersara awal pada 3 April. Idrus kemudian berkata permohonan itu diluluskan dan akan dikuatkuasakan pada 1 November.

Semalam Leong memberitahu parlimen laporan penuh akan dibentangkan kepada Dewan Rakyat selepas dua peguam tertinggi itu ditemu bual.

“Saya sebagai pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas telah keluarkan kenyataan bahawa jawatankuasa akan mengadakan prosiding dan kita akan panggil kedua-dua peguam negara untuk berikan penjelasan.

“Kenyataan media telah dikeluarkan dan kita akan bentangkan laporan selepas siasatan dibuat,” katanya di Dewan Rakyat.

Minggu lalu Jabatan Peguam Negara berkata terdapat alasan kukuh untuk memberikan Zahid DNAA.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan pihak pendakwaan membebaskan Zahid daripada kesemua 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berhubung dana Yayasan Akalbudi.

Pihak pendakwaan berkata ia ingin menghentikan prosiding bagi memberi laluan kepada siasatan lanjut kes itu. – 13 September, 2023.

Iklan
Iklan