Iklan

Bersih pertahan himpunan ‘Selamatkan Malaysia’

Noel Achariama year ago13th Sep 2023Berita
Bersih  epa
Bersih berkata polis bertanggungjawab menegakkan Perlembagaan Persekutuan dengan memudahkan perhimpunan, memastikan keselamatan peserta dan mengawal lalu lintas. – Gambar EPA, 13 September, 2023.
Iklan

MENJADI hak Perlembagaan rakyat untuk berhimpun secara aman kerana ia adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang berfungsi, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Jawatankuasa pemandunya berkata polis bertanggungjawab menegakkan Perlembagaan Persekutuan dengan memudahkan perhimpunan seperti itu, memastikan keselamatan peserta dan mengawal lalu lintas.

Ia merujuk kepada protes “Selamatkan Malaysia” yang diketuai oleh Perikatan Nasional (PN) untuk membantah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dibebas tanpa dilepaskan (DNAA) dalam perbicaraan rasuahnya.

Bersih membetulkan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay yang penganjur perhimpunan mesti memohon permit daripada pihak berkuasa lima hari sebelum tarikh perhimpunan.

“Ini sebenarnya tidak betul kerana Akta Perhimpunan Aman 2012 hanya memerlukan penganjur perhimpunan memaklumkan pihak berkuasa, bukan memohon permit atau kelulusan seperti zaman dahulu.

“Seperti yang dibuktikan oleh banyak perhimpunan, khususnya Bersih 4 dan Bersih 5, perhimpunan aman boleh dilakukan walaupun dengan bantuan minima oleh pihak polis.

“Kami menyeru polis menjalankan tugas mereka secara profesional dengan menyediakan semua bantuan yang diperlukan kepada penganjur perhimpunan supaya mereka dapat melaksanakan hak demokrasi mereka.”

Semalam, Lawyers for Liberty (LFL) berkata sebarang tindakan yang diambil terhadap penganjur protes yang dirancang itu akan menjadi bukti jelas kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim melupakan reformasi.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata perhimpunan pada Sabtu untuk membantah DNAA Zahid mesti dibenarkan tanpa sekatan atau gangguan polis.

Bersih berkata ia kecewa dengan tindakan keras anggota polis yang menghalang perhimpunan sekumpulan petani dan aktivis di luar Parlimen semalam.

“Ini tidak wajar kerana perhimpunan aman untuk menyerahkan memorandum kepada ahli Parlimen adalah norma demokrasi yang harus dipermudahkan, bukan dihalang oleh pihak berkuasa.

“Kami menyeru Parlimen dan pihak berkuasa memudahkan perhimpunan akan datang untuk meluluskan memorandum secara aman dan teratur.” – 13 September, 2023.

Iklan
Iklan