Iklan

Penduduk rumah panjang Taman Rimba Kiara harap dapat rumah baharu

Noel Achariama year ago14th Sep 2023Berita
Taman Rimba Kiara longhouse
Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan, penduduk rumah panjang Taman Rimba Kiara berharap untuk menerima rumah kekal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2023.
Iklan

PENDUDUK rumah panjang Taman Rimba Kiara (TRK) di Kuala Lumpur mengharapkan sinar mendapat rumah kekal selepas 42 tahun duduk di rumah panjang.

Selepas menang kes terhadap pemaju di Mahkamah Persekutuan tahun ini, penduduk kini berharap dapat perumahan kekal di kawasan itu.

Mereka memohon 200 rumah dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh sedang membantu mereka.

Yeoh berkata beliau bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Mei untuk berbincang isu berkaitan penduduk rumah panjang terbabit.

Beliau membawa beberapa permintaan, antaranya menubuhkan pasukan petugas khas terdiri daripada perdana menteri, penduduk rumah panjang, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), persatuan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan Yeoh sendiri.

Ini katanya, bertujuan mencari jalan untuk menyediakan perumahan kekal (rumah teres) untuk penduduk rumah panjang itu.

“Ia juga bagi memberi kebenaran menjalankan kaji selidik dan kerja mengukur di tapak serta mewartakan semula TRK sebagai ruang terbuka atau taman,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Yeoh berkata mereka menunggu keputusan YWP berkenaan hal itu.

Sejak keputusan mahkamah diterima, penduduk cuba mendapatkan khabar positif daripada kerajaan berkenaan permohonan mereka mendapatkan rumah baharu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Panjang TRK M. Sivakumar berkata mereka berterima kasih kepada Yeoh kerana membantu mereka.

“Kami dimaklumkan YB (Yeoh) ada bertemu perdana menteri untuk menjelaskan pelan untuk penduduk rumah panjang,” katanya, menambah Yeo menghantar memorandum kepada Anwar berkenaan isu itu.

“Sekarang ia menunggu keputusan PM untuk pembangunan perumahan. Tidak ada projek di kawasan itu dan tanah berkenaan kosong.

“Kami berharap dapat khabar gembira dari Putrajaya sebelum Deepavali bulan depan.”

Penduduk berharap rumah akan dibina di kawasan seluas 1.6 hektar yang mereka duduki pada masa ini.

Mereka bersetuju rumah bandar akan dibina untuk 98 keluarga di situ.

Sivakumar berkata mereka menjangkakan resolusi berkaitan isu pentadbiran tanah itu dapat diselesaikan akhir tahun ini.

“Jika isu pentadbiran dapat diselesaikan akhir tahun ini, kami jangka tempoh dua tahun diperlukan untuk membina rumah.

“Kami harap dapat berpindah semula di sini pada 2026.”

Pada 18 April, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan projek TRK di TTDI.

Mahkamah tertinggi itu mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak perintah pembangunan di situ pada 27 April, 2021.

DBKL, YWP dan pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd sebelum ini memohon untuk perintah pembangunan dikembalikan.

Penduduk TTDI berkata projek itu akan memusnahkan 10 hektar kawasan hijau di Kuala Lumpur. – 14 September, 2023.

Iklan
Iklan