Iklan

Penganjur himpunan Selamatkan Malaysia dipanggil polis

Alfian Z.M. Tahira year ago17th Sep 2023Berita
Tun faisal selamatkan malaysia tmi 01
Tun Faisal Ismail Abdul Aziz yang turut hadir dalam Perhimpunan Selamatkan Malaysia semalam berkata kira-kira 20 individu dipanggil oleh polis untuk direkodkan kenyataan mereka esok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 September, 2023.
Iklan

POLIS memanggil beberapa individu yang dikaitkan dengan perhimpunan #SelamatkanMalaysia semalam di Kuala Lumpur untuk direkodkan kenyataan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan yang baru dipilih Dr Afif Bahardin mengesahkan perkara itu menerusi X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

“Saya dijemput @PDRMsia untuk memberi keterangan berkenaan Himpunan Aman Selamatkan Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

“Inshallah, saya akan hadir ke IPD Dang Wangi esok, Isnin pada jam 12:00 tgh bagi merakam keterangan ,” kata bekas ahli PKR itu.

Sementara itu, bekas ahli Umno Tun Faisal Ismail Abdul Aziz berkata kira-kira 20 individu dipanggil oleh polis untuk direkodkan kenyataan mereka esok.

Beliau berkata kesemua 20 individu itu diberitahu untuk hadir ke balai polis Dang Wangi seawal jam 10 pagi.

Himpunan yang diadakan semalam adalah untuk membantah keputusan peguam negara menarik balik kesemua 47 pertuduhan jenayah ke atas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

The Malaysian Insight menghubungi Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya untuk mendapatkan komen lanjut.

Polis semalam berkata mereka merancang untuk mengambil tindakan terhadap penunjuk perasaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata perhimpunan itu tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.

“Perhimpunan hari ini tidak termasuk di bawah PAA.

“Disebabkan itu, kami akan lihat apa tindakan susulan yang patut diambil selepas ini,” katanya kepada wartawan pada sidang media di Balai Polis Dang Wangi.

Allaudeen berkata walaupun penganjur perhimpunan menyerahkan notis kepada polis mengenai perhimpunan itu, ia tidak mematuhi garis panduan yang digariskan dalam PAA.

Minggu lalu, hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk membenarkan Zahid dilepaskan tanpa pembebasan (DNAA) atas pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Pihak pendakwaan berkata ia mahu menghentikan prosiding supaya siasatan lebih mendalam dapat dilakukan.

Pada hari Sabtu gesaan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim berundur dan laungan “Reformati” (reformasi sudah mati) bergema di perhimpunan anjuran Perikatan Nasional di ibu negara.

Perhimpunan di hadapan kompleks beli-belah Sogo itu berlangsung kira-kira sejam sebelum orang ramai bersurai.

Turut kelihatan menyertai perhimpunan semalam ialah ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin dan bekas timbalan ketua Umno Putrajaya Tun Faisal.

Kumpulan yang berkumpul di Masjid Jamek Kampung Baru itu berarak ke Balai Polis Dang Wangi sebelum menuju ke pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Semasa perarakan laungan “Tolak Zahid!”, “Dakwa Zahid!” dan “Reformati!” berbunyi.

Polis di lokasi terus mengawasi penunjuk perasaan. – 17 September, 2023.

Iklan
Iklan