Iklan

2 lagi ahli Perikatan dipanggil polis berhubung perhimpunan Sabtu lepas

Alfian Z.M. Tahira year ago18th Sep 2023Berita
Demo selamatkan malaysia tmi 07
Perhimpunan Selamatkan Malaysia diadakan Sabtu lepas bagi membantah keputusan peguam negara menggugurkan 47 pertuduhan rasuah terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September 2023.
Iklan

POLIS memanggil dua lagi ahli Perikatan Nasional berhubung perhimpunan #SelamatkanMalaysia pada Sabtu lepas.

Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga dan Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard adalah yang terbaru dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Mengulas perkara itu di media sosial Syarul Ema berkata dia dipanggil ke balai polis esok pada pukul 10 pagi untuk direkodkan keterangan.

Badrul pula berkata beliau dan tiga aktivis lain dihubungi polis untuk mengambil keterangan mereka pada Rabu.

“Senarai itu dijangka bertambah terutama selepas kumpulan pertama bersama Tun Faisal (Ismail Aziz) dipanggil pagi ini,” katanya.

Semalam Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis mengenal pasti 25 peserta perhimpunan Selamatkan Malaysia di Kuala Lumpur pada Sabtu dan memanggil mereka untuk memberikan keterangan.

Beliau berkata enam daripada mereka termasuk seorang pemimpin parti politik akan hadir Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada Isnin dan Selasa.

“Daripada 25 individu terbabit, kami menghubungi 22 orang pagi ini. Lima daripada mereka akan hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk disoal siasat esok, seorang pada Selasa, dan yang lain akan dipanggil kemudian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah semalam.

Badrul berkata kumpulan itu mengakui polis menjalankan tugas mereka dan berada di bawah tekanan daripada kerajaan.

“Bagaimanapun hak untuk berhimpun secara aman adalah jaminan Perlembagaan yang termaktub dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, sebarang tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan negara adalah satu jenayah.

“Arahan Jabatan Peguam Negara kepada polis untuk membuka kertas siasatan juga jelas salah.

“Pada Rabu satu laporan akan dibuat terhadap Jabatan Peguam Negara dan polis kerana siasatan itu bertentangan dengan Perlembagaan negara,” katanya.

Perhimpunan itu diadakan bagi membantah keputusan peguam negara menggugurkan 47 pertuduhan rasuah terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Minggu lalu, hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk membenarkan Zahid dilepaskan tanpa pembebasan (DNAA) atas pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Pihak pendakwaan berkata ia mahu menghentikan prosiding supaya siasatan lebih mendalam dapat dilakukan. – 18 September 2023.

Iklan
Iklan