Iklan

Kadar upah rendah, pekerja p-hailing bergelut kos sara hidup

Rider p-hailing
Kini ramai pekerja p-hailing terpaksa bertukar bidang kerana kadar upah yang rendah ketika kos sara hidup semakin menghimpit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2023.
Iklan

PENDAPATAN penghantar barangan dan makanan (p-hailing) boleh mencecah antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan semasa seluruh negara berada di bawah perintah kawalan pergerakan akibat pandemik Covid-19 tiga tahun lalu.

Kini ramai pekerja p-hailing terpaksa bertukar bidang kerana kadar upah yang rendah ketika kos sara hidup semakin menghimpit, manakala yang lain masih bertahan ekoran peluang pekerjaan yang terhad.

Pekerja yang ditemui The Malaysian Insight menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan pengendali e-hailing dan p-hailing yang enggan mendengar keluhan mereka, terutamanya mengenai kadar upah.

Kata mereka ketika ini tiada badan yang mengawal selia kadar upah, sekali gus memberi kuasa penuh kepada syarikat e-hailing untuk membuat penetapan.

Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia Arif Asyraf Ali berkata penghantar boleh meraih pendapatan tinggi semasa pandemik, kerana itu satu-satunya cara untuk orang ramai mendapatkan makanan berikutan kawalan pergerakan dilaksanakan. Kadar upah waktu itu tinggi memandangkan bilangan syarikat pengendali p-hailing ketika itu tidak sebanyak sekarang, katanya.

“Persaingan antara syarikat tidak begitu tinggi. Pendapatan kami setiap bulan lumayan, tetapi upah kami turun mendadak selepas perintah kawalan pergerakan ditarik balik dan orang ramai sudah bebas bergerak.

“Sekarang hanya syarikat yang dapat untung lebih lebih-lebih lagi tiada siapa yang boleh kawal kadar upah penghantaran,” kata Arif kepada The Malaysian Insight, menambah persatuan mereka mempunyai 500 ahli terdiri daripada pemandu e-hailing dan penghantar.

Beliau berkata kadar upah penghantaran 0.45 sen per kilometer ketika ini terlalu rendah, dan gesaan supaya ia dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 0.75 sen hingga RM1 per kilometer tidak pernah dilayan.

Tambahnya, jika pendapatan pekerja p-hailing sebelum ini lumayan, kini mereka hanya mampu memperoleh kira-kira RM50 hingga RM100 sehari.

Walaupun upah yang diterima rendah, ramai yang terpaksa terus bekerja kerana tiada pilihan lain untuk menampung hidup.

“Kami tidak ada pilihan. Ada masa kami terpaksa batalkan saja pesanan kalau upah tak masuk akal,” kata Arif.

Keluhan Arif itu diakui Mokana Raj, 33, dari Kuala Lumpur.

Katanya, perubahan kadar upah menyebabkan ramai pemandu p-hailing terpaksa mencari pekerjaan lain.

“Pendapatan kami tak ‘sekencang’ semasa pandemik. Ketika itu perkhidmatan menghantar makanan lebih banyak daripada hantar penumpang.

“Perubahan kadar upah sekarang betul-betul menjejaskan pendapatan kami. Tidak adil kurangkan kadar upah sedangkan tempahan tak berkurang pun,” ujarnya.

Mokana bagaimanapun bersyukur pendapatannya masih jauh lebih baik berbanding pekerjaan lain.

“Sebelum ini kami boleh tetapkan jumlah jam bekerja sehari, tetapi sekarang kami kena kerja lebih masa kalau nak dapat duit lebih.

“Bagi saya, pekerjaan ini masih boleh beri saya pendapatan yang jauh lebih baik berbanding kerja sepenuh masa di tempat lain yang gajinya bawah RM3,000.

“Di sini masa pun fleksibel. Malah pesanan waktu malam juga banyak selepas perintah kawalan pergerakan ditarik balik. Jadi tak boleh cerewet, kita kena bijak.

“Kalau hari Khamis, Jumaat dan Sabtu pula kena korbankan sikit waktu tidur, kerja lebih masa, kata Mokana. – 19 September, 2023.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan