Iklan

Cadangan haramkan warga asing beli beras tempatan mengarut, kata aktivis

Alfian Z.M. Tahira year ago24th Sep 2023Berita
Rice tmi 02
Mohamad Sabu mendakwa kekurangan beras tempatan disebabkan pembelian panik selepas kenaikan harga beras import baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2023.
Iklan

PELARIAN dan aktivis hak asasi manusia membidas saranan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh supaya beras tempatan dijual hanya kepada rakyat Malaysia bagi mengatasi kekurangan.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, mereka menolak cadangan itu, melabelkannya sebagai mengarut dan mempunyai unsur xenofobia.

Pengarah Eksekutif North South Initiative, Adrian Pareira berkata cadangan itu - walaupun ditolak oleh kerajaan - adalah pelik, sambil menyatakan Akmal tidak memahami konsep pengeluaran.

“Siapa yang membantu mengeluarkan hasil dan bekerja di ladang? Mereka semua pendatang dan jika bukan mereka, siapa yang mahu bekerja di ladang. Rakyat Malaysia tidak berminat. Kami bergantung kepada buruh untuk mendapatkan makanan kami.

“Adalah pelik untuk tidak membenarkan mereka membeli tanaman yang mereka bantu tanam. Punca kekurangan ini adalah kerana kegagalan kita dalam dasar pertanian.

“Terdapat banyak NGO yang mencadangkan kepada kerajaan untuk memulakan pertanian organik yang mana hasilnya lebih tinggi tetapi mereka tidak mahu mendengar,” katanya.

Pareira juga menyatakan ini bukan kali pertama kenyataan perkauman sedemikian dibuat.

“Jika kita benarkan naratif ini dimainkan, kita akan lihat lebih banyak kenyataan xenofobia pada masa akan datang. Sebelum ini ada isu warga asing tidak dibenarkan menaiki bas percuma dan mengenai skim kesihatan, mereka tidak termasuk, mereka tidak dibenarkan menerima subsidi kesihatan.

“Ini adalah dasar ke belakang yang perlu ditangani,” katanya.

Ketua meja migran Parti Sosialis Malaysia (PSM), Rani Rasiah turut melahirkan rasa tidak percaya terhadap kenyataan itu, berkata ia bertentangan dengan setiap nilai baik yang boleh difikirkan oleh manusia.

Beliau berkata tiada sesiapa harus dinafikan hak asasi mereka untuk mendapat makanan.

Kebanyakan ladang padi di negara ini menggunakan khidmat pekerja asing untuk menanam padi dan menuai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2023.

“Saya tidak terfikir seseorang boleh mengemukakan cadangan sedemikian. Ia bertentangan dengan setiap agama dan setiap nilai yang baik.

“Cadangan apakah ini? Makanan adalah hak asasi setiap orang dan tiada siapa boleh menafikan hak seseorang untuk mendapatkan makanan. Semua orang berhak mendapat layanan yang sama rata,” kata Rani.

Minggu lalu, Akmal berkata beras putih tempatan, yang disubsidi oleh kerajaan, hanya perlu dijual kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata ia boleh menjadi langkah sementara untuk menangani kekurangan beras putih tempatan di pasaran.

“Saya menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membuat dasar sedemikian semasa kekurangan ini, mengehadkan penjualan beras putih tempatan hanya kepada rakyat Malaysia.

“(Harga) beras putih tempatan sedang disubsidi oleh kerajaan, justeru, memandangkan kekurangan itu, rakyat Malaysia harus diutamakan berbanding warga asing,” katanya dalam video pendek yang disiarkan di Facebook.

“Kita harap permintaan ini dapat dipertimbangkan oleh menteri. Kita perlu melindungi rakyat kita daripada orang luar. Mereka (orang asing) boleh membeli beras import,” katanya lagi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohammad Sabu bagaimanapun menolak cadangan itu dengan mengatakan kerajaan tidak bercadang untuk menghalang bukan warganegara daripada membeli beras tempatan walaupun kekurangan beras semasa.

“Orang asing juga perlu makan,” kata Mohamad.

Beliau berkata, pekerja asing juga memainkan peranan dalam pembangunan negara dan kekurangan beras tempatan adalah disebabkan pembelian panik selepas kenaikan harga beras import baru-baru ini. – 24 September, 2023.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan