Iklan

Pemilik kedai buku masih menanti status siasatan

Alfian Z.M. Tahira year ago25th Sep 2023Berita
Benz Ali 2308
Penulis Benz Ali berkata masih belum dimaklumkan mengenai status siasatan dan dua buku yang dirampas pegawai KDN ketika serbuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2023.
Iklan

PENULIS kontroversi dan pemilik kedai buku Amir Hamzah Akal Ali atau lebih dikenali sebagai Benz Ali masih menunggu perkembangan terkini daripada pihak berkuasa selepas kedainya diserbu Kementerian Dalam Negeri (KDN) lebih sebulan lalu.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, beliau berkata masih belum dimaklumkan mengenai status siasatan dan dua buku yang dirampas pegawai ketika serbuan.

“Sehingga hari ini, saya belum dimaklumkan perkembangan siasatan. Tiada pihak kementerian menghubungi saya mengenai serbuan itu. Saya belum menerima sebarang surat rasmi mengenai status siasatan.

“Secara dasarnya, tiada sebarang kemas kini langsung dan saya masih menunggu,” katanya hari ini.

Pada awal Ogos, pegawai KDN menyerbu Toko Buku Rakyat, sebuah kedai buku milik Benz di Kuala Lumpur, dan merampas dua buah buku, terjemahan bahasa Melayu “Marx Sang Pendidik Revolusioner” oleh Robin Smalls, dan buku Benz sendiri, “Koleksi Puisi Masturbasi”.

Kedua-dua buku itu tiada dalam senarai larangan kerajaan.

Benz dilaporkan berkata pihak berkuasa mengambil satu salinan setiap buku, memetik Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Di platform media sosial Goodreads, “Karl Marx: The Revolutionary as Educator” digambarkan sebagai buku mengenai ahli falsafah kelahiran Jerman, menganggapnya sebagai pemikir pendidikan radikal, dan mengkaji persekolahan dan pendidikannya.

Sementara itu, buku Benz disifatkan sebagai koleksi puisi yang merujuk bukan kepada perbuatan seks, sebaliknya mengekspressikan perasaan dalam perkataan yang terhad dan cuba lari daripada norma puisi biasa.

Bercakap lanjut, Benz berkata beliau percaya bukunya akan diharamkan oleh kerajaan.

Beliau juga merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan larangan KDN terhadap buku “Gay is Okay! A Christian Perspective”dengan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu.

Peguam kerajaan berhujah larangan itu sah selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari tahun lepas membenarkan semakan kehakiman terhadap larangan itu pada Februari.

Larangan itu ditarik balik bagi membolehkan pengarang Ngeo Boon Lin dan penerbit Gerakbudaya Enterprise menjual dan mengedarkan buku itu di Malaysia.

“Saya rasa buku saya juga akan diharamkan tidak lama lagi oleh kerajaan. Kemungkinannya sangat tinggi,” kata Benz.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua buku yang dirampas dari kedai buku Benz akan dipulangkan jika semakan mendapati buku itu tidak melanggar undang-undang sedia ada.

Beliau berkata pemulangan buku itu bergantung kepada pematuhan kandungan terhadap undang-undang di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Akta itu menyatakan rampasan boleh dilakukan untuk menjalankan penyelidikan, semakan, dan analisis bahan untuk menentukan sama ada ia bercanggah dengan aspek yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

“Sekiranya penemuan kami menunjukkan kandungan buku itu tidak menjejaskan ketenteraman awam atau menimbulkan sebarang ketidakselesaan, maka kami akan kembalikannya kepada beliau (Benz),” kata Saifuddin. – 25 September, 2023.

Iklan
Iklan