Iklan

2 rakyat Malaysia mungkin ditahan bawah Sosma selepas bebas dari Guantanamo

Alfian Z.M. Tahira year ago3rd Oct 2023Berita
Mohammed nazir lep and mohammed farik amin tmi040921 (1)  full
Mohammed Nazir Lep (kiri) dan Mohammed Farik Amin dituduh terbabit dalam insiden pengeboman di Bali pada 2002 dan Jakarta pada 2003. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2023.
Iklan

DUA rakyat Malaysia, disyaki pengganas yang terbabit dalam insiden bom di Bali pada 2002 mungkin akan ditahan di negara ini untuk tujuan penilaian sebelum dibenarkan kembali kepada masyarakat, kata pakar keselamatan.

Dr Ahmad El-Muhammady dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata dua individu terbabit yang ditahan atas tuduhan keganasan di kem tahanan Amerika Syarikat (AS) di Guantanamo Bay, Cuba mungkin perlu menjalani penilaian ideologi dan psikologi oleh pihak berkuasa tempatan.

Ahmad yang juga felo di International Centre for Counter-Terrorism (ICCT) berkata adalah penting untuk mengenal pasti sama ada kedua-dua lelaki terbabit mungkin masih berbahaya kepada masyarakat.

“Saya tidak rasa mereka dibebaskan sebaik saja tiba di tanah air, sekurang-kurangnya mereka akan ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Khas Kesalahan Keselamatan (Sosma) atau Akta Pencegahan Keganasan (Pota).

“Mereka juga perlu dinilai, secara ideologi dan psikologi, bagi memastikan mereka tidak bahaya kepada masyarakat.

“Mereka juga perlu menjalani program pemulihan khas kelolaan polis dan Jabatan Penjara,” katana.

 Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep bersama seorang rakyat Indonesia Encep Nurjaman, yang turut dikenali sebagai Hambali, dijangka berdepan perbicaraan di mahkamah tentera AS atas tuduhan terbabit dalam pengeboman di Bali dan Jakarta, masing-masing pada 2002 dan 2003 yang menyebabkan ratusan mangsa terbunuh.

Susulan penahanan mereka di Thailand pada 2003, mereka dihantar ke tapak operasi rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke Guantanamo pada 2006.

Ketiga-tiga mereka didera sepanjang berada di tapak operasi rahsia itu, seperti disiarkan dalam laporan Senat AS pada 2014.

Dokumen mahkamah difailkan oleh ketua pendakwa raya pada Ogos menyatakan Farik tidak lagi akan dibicarakan bersama dua lagi defendan.

Ahmad berkata inisiatif untuk membawa pulang kedua-dua suspek militan itu pernah dibuat sebelum ini tetapi usaha iu tidak berjaya kerana AS mahu membawa semua suspek ke pengadilan di mahkamah.

Katanya, pujian perlu diberikan kepada kerajaan AS kerana mereka juga mahu kes itu berakhir dengan baik.

“Pentadbiran sebelum ini pernah berusaha untuk membawa pulang mereka tetapi AS pada masa itu terlalu berdegil mendesak mereka dibawa ke mahkamah.

“Ini adalah kejayaan besar buat Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Peguam Negara serta beberapa individu lain yang terbabit dalam usaha ini.

“Jika Malaysia dan AS tidak mencapai persetujuan, kedua-dua mereka mungkin terpaksa dipenjarakan di AS,” kata Ahmad.

Bagaimanapun, Ahmad bimbang dengan nasib Hambali.

“Saya tidak pasti apa akan berlaku kepadanya. Indonesia tidak mahu dia, jadi bagaimana dengan nasibnya?

“Dia pernah berkahwin dengan rakyat Malaysia sebelum ini tetapi tidak kekal lama. Tidak tahu apa penyelesaian untuk Hambali,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Putrajaya belum memutuskan sama ada akan menahan atau membebaskan dua rakyat Malaysia terbabit yang sedang ditahan di Guantanamo Bay.

Saifuddin berkata kerajaan masih menjalankan rundingan untuk pembebasan Farik dan Nazir.

“Kita belum sampai peringkat itu dan kami baru bertemu dengan pihak berkuasa AS dan membaca profil serta status semasa mereka.

“Kita belum sampai peringkat di mana mereka akan jejak tanah Malaysia. Masih di peringkat awal,” kata Saifuddin.

Sementara itu, Desak Sampai Mansuh (DSM), satu kumpuan anti Sosma, menggesa kerajaan untuk tidak menahan kedua-dua individu terbabit di bawah Sosma jika mereka dapat pulang ke tanah air.

Mahathir Abdul Rahman berkata mereka perlu dinilai terlebih dulu sebelum dibenarkan kembali ke Malaysia dan sebarang tindakan untuk menahan mereka adalah tidak berperikemanusiaan.

“Kita perlu adil, mereka ditahan selama lebih dua dekad dan hanya Tuhan tahu bagaimana layanan yang mereka terima.

“Kita tidak patut tahan mereka lagi. Kita perlu nilai mereka sebelum pulang.

“Ditahan selama 20 tahun tanpa dibicarakan, ia sudah terlalu lama,” katanya.

Ahmad berkata penahanan mereka secara sementara tidak dapat dielakkan kerana pihak berkuasa perlukan sedikit masa untuk melakukan penilaian.

“Saya secara peribadi fikir mereka perlu dibenarkan untuk menikmati hidup normal tetapi ia perlu dilakukan secara berperingkat. Sebaik saja penilaian selesai, mereka tidak sepatutnya dijadikan sasaran.

“Sementara waktu itu, kerajaan bertanggungjawab memastikan mereka tidak lagi berbahaya kepada masyarakat,” kata Ahmad. – 3 Oktober, 2023.

Iklan
Iklan