Iklan

Kumpulan pelajar gesa PM teruskan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN

Alfian Z.M. Tahira year ago5th Oct 2023Berita
Ptptn tmikamal 03
Iklan

MAHASISWA Progresif Universiti Malaya menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim meneruskan insentif diskaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Belanjawan 2024.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata Anwar perlu berbincang dengan Kementerian Kewangan, di mana beliau adalah menteri, agar insentif diskaun pembayaran balik pinjaman PTPTN tidak dimansuhkan.

Kumpulan itu mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin yang insentif berakhir pada 31 Mei 2023 seperti diumumkan semasa pembentangan belanjawan lalu tidak lagi diteruskan atau dibincangkan.

“Menurut perdana menteri sendiri ketika diumumkan, diskaun ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan peminjam yang terjejas. Jadi persoalan yang timbul daripada Mahasiswa Progresif ialah dengan keputusan memansuhkan insentif diskaun bayaran balik pinjaman bermakna peminjam sudah mengatasi bebanan kewangan mereka?

“Mahasiswa Progresif Universiti Malaya berpandangan tindakan ini umpama tamparan kepada nasib peminjam PTPTN kerana tidak lagi layak menerima diskaun seperti diberikan sebelum ini.

“Hasrat kerajaan untuk tidak meneruskan pemberian diskaun bayaran balik pinjaman ini adalah satu langkah ke belakang,” katanya.

Pada Februari lalu, PTPTN melaksanakan insentif diskaun bayaran balik pinjaman sehingga 20% selama tiga bulan bermula Mac ini.

Mahasiswa Progresif mengingatkan Khaled yang sebarang tindakan dilihat membebankan pelajar akan mengurangkan minat anak muda untuk melanjutkan pengajian.

“Perkara ini bukan sahaja menjejaskan produktiviti masa depan negara tetapi juga menjejaskan pembangunan modal insan pada masa hadapan.

“Jangan biarkan keputusan ini memberi kesan buruk kepada rancangan jangka panjang yang bermanfaat. Oleh itu, Mahasiswa Progresif menggesa perkara ini terus dinilai semula.” – 5 Oktober, 2023.

Iklan
Iklan