Iklan

Rombakan Kabinet tidak mendesak, kata pemerhati

Alfian Z.M. Tahira year ago6th Oct 2023Berita
000 334u7g6
Walaupun ada pemerhati politik berkata ia adalah prerogatif Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk merombak Kabinet tetapi lebih baik senario politik negara diperbaiki terlebih dahulu. – Gambar AFP, 6 Oktober, 2023.
Iklan

PEMERHATI politik dan ahli politik veteran tidak sependapat berhubung spekulasi rombakan Kabinet, kerana ada yang percaya ia bukan tindakan yang perlu diambil.

Walaupun sebahagiannya berkata ia adalah prerogatif Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tetapi ada yang berpendapat Anwar sebaliknya, perlu merombak senario politik negara terlebih dahulu.

Spekulasi berkenaan rombakan Kabinet dilaporkan secara meluas di media tempatan baru-baru ini, tetapi Anwar menolak khabar angin itu, berkata beliau belum lagi membuat keputusan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, khabar angin terus berleluasa.

Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata rombakan itu tidak mendesak.

Katanya, jika Anwar mahu mengganti beberapa menterinya, ia patut dilakukan selepas Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober ini.

Pensyarah itu berkata agak pelik untuk Anwar merombak Kabinet ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai akan diadakan pada Sabtu ini.

“Saya tidak nampak keperluan untuk beliau berbuat demikian. PRK sedang berlangsung, beliau sekurang-kurangnya patut tunggu keputusan dulu, walaupun ia tidak penting.

“Kedua, minggu depan Belanjawan 2024 akan dibentangkan, jadi pada saya masanya tidak sesuai. Beliau dan menteri lain sepatutnya fokus kepada belanjawan,” katanya.

Awang Azman berkata spekulasi itu bermula selepas kematian menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup Salahuddin Ayub pada Julai, bermakna Anwar perlu mencari penggantinya.

“Ada beberapa nama dipertimbangkan tetapi belum muktamad, dan kemudiannya ada pihak tertentu mula melobi,” katanya.

Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre bersetuju khabar angin itu bermula sejak kematian Salahuddin, diikuti dengan kegagalan kerajaan menangani masalah kekurangan bekalan makanan dan kos sara hidup.

Katanya, Anwar perlu mengubah barisan menterinya selepas pelantikan Yang di-Pertuan Agong baharu, yang dijadualkan awal tahun depan.

“Rakyat tidak gembira dengan kekurangan beras, gula dan telur, menyebabkan mereka meluahkan perasaan di media sosial dan menggesa beberapa menteri diganti.

“Walaupun ia prerogatif Anwar, jika perubahan berlaku, ia menunjukkan ada tekanan dari dalam kerajaannya.

“Jika perubahan berlaku, ia sepatutnya selepas pelantikan agong baharu,” kata Hisomuddin. – 6 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan