Iklan

Aktivis Perikatan buat laporan terhadap menteri atas dakwaan salah guna kuasa

Alfian Z.M. Tahira year ago8th Oct 2023Berita
49937376857 6fa9e4b3ed b
Badrul Hisham Shaharin membuat enam laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil kerana salah guna kuasa serta ugutan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2023.
Iklan

AKTIVIS Perikatan Nasional yang diketuai Badrul Hisham Shaharin membuat enam laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil kerana salah guna kuasa serta ugutan.

Badrul yang lebih dikenali sebagai CheguBard ketika dihubungi berkata laporan itu dibuat petang ini di Balai Polis Daerah Dang Wangi dan akan diteruskan esok di beberapa balai polis seluruh negara.

“Kami membuat laporan polis ini selepas beberapa rakan kami termasuk penjawat awam dipanggil polis.

“Ini selepas mereka termasuk anggota polis bantuan dan seorang anggota bomba didakwa membuat kenyataan lucah atau kasar terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim di platform media sosial.

“Tindakan yang dilakukan oleh kerajaan khususnya daripada Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Komunikasi dan Digital adalah satu tindakan ugutan dan salah guna kuasa.

“Ia juga menghina mahkamah apabila mahkamah sebelum ini menjatuhkan hukuman dan mendapati Anwar bersalah atas tuduhan liwat.

“Kami sudah membuat enam laporan polis hari ini dan akan terus membuat lebih banyak lagi esok di seluruh negara,” kata Badrul.

Minggu lalu polis menahan seorang polis bantuan kerana didakwa membuat kenyataan menghina Anwar di Facebook.

Tindakan itu mendapat kecaman pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek yang berkata kenyataan kasar atau menyinggung bukanlah tindakan yang memerlukan siasatan jenayah.

“Despite the change in government that was promised to usher in an era of reform, the police are still scouring social media sites and making reports against citizens on random posts or comments that purportedly disparage or insult the government or those who are in power,” Zaid said in a statement.

Pada Khamis polis Johor menahan suspek berusia 39 tahun di Endau, Mersing pada 10.58 malam pada malam yang sama laporan itu dibuat.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata kes disiasat mengikut seksyen 504 kanun keseksaan kerana menghina dengan sengaja di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan perkataan kurang sopan.

Penahanan itu dibuat berikutan laporan dibuat pegawai kanan polis yang kononnya terjumpa komen wanita itu di Facebook.

Pada Ogos lalu polis juga mengesahkan mereka sedang menyiasat bekas ketua Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo berhubung video yang didakwa Anwar.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Kedah Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata laporan itu dibuat oleh ahli jawatankuasa Umno Bahagian Pendang.

“Pada 1 Ogos kira-kira 1.45 tengah hari polis Kedah menerima laporan berhubung penghinaan terhadap Perdana Menteri Malaysia.

“Pengadu, ahli jawatankuasa Umno Bahagian Pendang berkata beliau menonton video di akaun TikTok Projek Papa yang mengandungi unsur-unsur menghina Perdana Menteri Malaysia dan unsur-unsur hasutan yang boleh menimbulkan ketakutan dan perbalahan dalam kalangan rakyat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” kata Alzafny dalam satu kenyataan. – 8 Oktober, 2023.

Iklan
Iklan