Iklan

Naik gaji minimum untuk tangani harga barang, kata persatuan pengguna

Diyana Ibrahima year ago12th Oct 2023Berita
Harga
Harga barangan keperluan terus meningkat yang menyebabkan golongan berpendapatan rendah semakin terhimpit dengan kos sara hidup.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2023.
Iklan

KERAJAAN perlu menaikkan kadar gaji minimum pekerja dan mengadakan jawatankuasa khas bagi menangani masalah kenaikan harga barang dan kos sara hidup, kata persatuan pengguna.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, langkah ini perlu dilakukan kerana tanggungjawab mengawal kenaikan harga dipikul kerajaan dan bukannya pengguna.

Badan ini bimbang harga barangan akan terus meningkat tahun depan yang seterusnya akan membebankan pengguna dan peniaga jika kerajaan tidak mengambil langkah efektif,

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Jacob George berkata jawatankuasa khas ini perlu diwakili penggiat industri dan persatuan.

“Pada masa ini saya lihat tak ada keazaman politik untuk menyelesaikan isu ini. Apa yang kita tengok dalam kenyataan dan keputusan yang yang diambil kerajaan sangat berbeza.

“Ia tidak menggambarkan realiti sebenar. Sebab itu jawatankuasa bertindak ini perlu ditubuhkan. Tapi kena lantik yang ada pengalaman dalam industri dan rekod pengalaman yang baik,” katanya.

Pengguna terus ditekan ekoran kenaikan mendadak harga barangan asas seperti beras import dan harga ayam yang memaksa peniaga menaikkan harga makanan mereka.

Para pengusaha menjangka harga makanan terus meningkat pada suku ketiga 2023 ekoran kebergantungan Malaysia pada bahan import dan kelemahan ringgit berbanding dolar.

Mereka menjangkakan kenaikan harga barang pengguna meningkat sehingga 20% ekoran inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan.

Mengulas lanjut, George berkata, sudah banyak pasukan khas yang ditubuhkan untuk mengawal haga barang sebelum ini tetapi kesemuanya gagal mencapai matlamat.

“Golongan yang menjadi pasukan khas tidak ada visi dan pengalaman akar umbi.

“Ia perlu dibarisi mereka yang betul dari akar umbi. Dan pasukan ini mesti komited, bersiap sedia setiap masa, setiap hari.

“Ia umpama pasukan perang bagi menangani krisis bekalan makanan di negara kita,” katanya.

Malah katanya masalah kenaikan harga bukan isu baru dan sering dibangkitkan oleh penggiat industri.

“Ini bukan masalah baru. Tujuh tahun kita bincang masalah sama, kos sara hidup, tak cukup bekalan, isu kartel, ada tangan- tangan ghaib.

“Dan selepas (pandemik) Covid-19 pun kita masih lagi berdepan dengan isu itu,” katanya.

Presiden Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff juga percaya peranan mengawal harga barang dipikul kerajaan sepenuhnya.

Jelasnya, pengguna boleh melakukan inisiatif untuk mengurangkan beban perbelanjaan mereka tapi kesannya tidak besar.

“Bukan tanggungjawab pengguna. Macam dulu kita pernah jalankan kempen boikot kedai yang jual mahal. Tapi kalau sekarang nak buat contoh tak beli ayam, harga ikan lagi mahal.

“Jadi pengguna tidak ada pilihan sebenarnya,” katanya.

Yusrizal berkata pada waktu ini pun pengguna terpaksa melakukan dua atau tiga kerja atau mengurangkan perbelanjaan seperti makan di luar dan dan mengehadkan aktiviti sosial di luar.

Beliau berkata isunya kerana kenaikan harga barang tidak setara dengan gaji yang mereka diterima.

Justeru itu katanya, kerajaan perlu menaikkan gaji minimum termasuk kakitangan kerajaan dan swasta bagi menangani isu tersebut.

“Paling kita bimbang sebab kenaikan harga barang ini akan berterusan. Setiap tahun sebenarnya harga barang ini naik.

“Dan sekarang ini pun kita nak penghujung tahun dan harga barang dijangka akan naik lagi. Jadi perlu ada tindakan segera,” katanya. – 12 Oktober, 2023.

Iklan
Iklan