Iklan

Kadar harga bilik hotel bajet melonjak 50% jika SST naik, kata persatuan

Noel Achariama year ago26th Oct 2023Berita
51572574615 bc365bcc54 o
Kadar harga bilik untuk hotel bajet mungkin meningkat 50% selepas SST dinaikkan ke 8%, kata Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2023.
Iklan

KADAR harga bilik untuk hotel bajet mungkin meningkat 50% selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) naik 8%, kata Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia.

Mereka berharap Putrajaya dapat mendengar rayuan mereka dan tidak mengabaikan industri itu di mana setakat ini 50 bajet hotel sudah gulung tikar.

Presiden persatuan itu Dr Sri Ganesh Michiel berkata mereka kecewa kerana kerajaan tidak bertindak atas aduan mereka.

“Kerajaan akan naikkan SST daripada 6% kepada 8%, bukannya beri kami kelonggaran untuk mengekalkan industri ini.

“Dengan kenaikan 2% itu, keseluruhan kos operasi akan naik termasuk perkhidmatan dobi, kawalan serangga, selenggara penghawa dingin, kerja penyelenggaraan dan lain-lain,” katanya.

Jika keadaan itu berlaku, katanya mereka tidak ada pilihan kecuali menaikkan kadar bilik.

Kadar semasa untuk hotel tiga bintang adalah antara RM150 dan RM200, dua bintang (RM100-RM150) dan satu bintang (RM100).

“Kami tidak ada pilihan, terpaksa naikkan harga bilik hingga 50%. Sekarang ini pun kami tidak dapat untung.”

Ketika membentangkan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan untuk menaikkan kadar SST kepada 8%.

Bagaimanapun, bagi tidak membebankan rakyat, Anwar berkata kenaikan itu tidak termasuk makanan, minuman dan perkhidmatan telekomunikasi.

Ganesh berkata mereka sebelum ini membangkitkan beberapa isu kepada kerajaan, tetapi tidak didengar, malah kerajaan tidak tahu masalah dihadapi industri itu.

Katanya, mereka menghantar memorandum kepada Anwar pada Ogos berkenaan kesusahan industri itu dan mengkaji cadangan dikemukakan.

“Kami menyuarakan beberapa kali kadar minimum untuk dikenakan SST dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta untuk hotel bajet.

“Apabila pendapatan cecah RM1.5 juta, barulah mereka perlu bayar SST.

“Hotel bajet ada pelanggan tetapi tidak mendapat keuntungan kerana kadar harga bilik yang rendah dan kos perkhidmatan untuk menyelenggara hotel meningkat,” katanya.

Ganesh berkata sejak Januari, kira-kira 50 hotel bajet terpaksa ditutup.

Pada masa ini, persatuan itu mempunyai 2,800 ahli di seluruh negara yang mengendalikan hotel satu hingga tiga bintang.

Kawal selia penginapan haram

Ganesh berkata satu lagi isu adalah pihak berkuasa gagal mengawal selia penyedia penginapan haram.

“Pengendali haram ini tidak perlu bayar SST, jadi mereka boleh jual harga bilik pada harga lebih rendah,” katanya.

“Pelanggan tentu memilih harga lebih murah, kerana mereka tidak perlu bayar SST.

“Sebagai contoh, hotel bajet menjual biliknya pada harga RM100 tambah dengan GST 8%, tetapi di kawasan berhampiran, ada Airbnb dengan harga bilik RM100 atau lebih rendah. Sudah tentu pilihan utama ke Airbnb.”

Beliau berkata dianggarkan terdapat 70,000 unit penginapan haram dijadikan sewa jangka pendek di kondominium dan tempat lain.

“Kami tidak pasti industri ini mampu kekal pada masa depan. Kami juga tidak dapat menaikkan kadar kerana ada persaingan di atas talian dengan agensi pelancongan.

“Mereka juga bersaing untuk jual bilik pada kadar lebih rendah.”

Ganesh berkata pada masa ini mereka masih dapat mempertahankan perniagaan, tetapi tiada keuntungan.

Katanya, kerajaan juga sepatutnya mempromosikan pelancongan domestik, dengan memberikan rakyat insentif cukai, supaya mereka boleh melancong dalam negara sekaligus menyokong industri itu. – 26 Oktober, 2023.

Iklan
Iklan