Lebih banyak konsert waktu Perikatan jadi kerajaan, kata Saifuddin
Iklan
PENGANJURAN konsert artis antarabangsa lebih banyak diadakan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (BN) berbanding Kerajaan Perpaduan, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.
Bagaimanapun reaksi pemimpin PAS pada waktu itu hanya menikus mendiamkan diri tidak seperti yang mereka lakukan sekarang, tambahnya.
“Bila konsert Coldplay ini riuh rendah (mereka kata) iman Anwar Ibrahim tipis senipis bawang.
“Tapi ketika PN (memerintah) konsert diadakan tiap-tiap minggu. 15 Oktober 2022 konsert ‘Boys Like Girls’.
“Seminggu lepas itu konsert Billie Ellish, kemudian konsert Blackpink, Super Junior banyak berlaku zaman PN memerintah.
“Tapi ketika itu iman pemimpin PAS paling tebal pulak, tidak senipis bawang,” katanya semasa penggulungan perbahasan Kongres PKR di PKR di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kritikan terhadap perdana menteri kerana meneruskan penganjuran konsert Coldplay pada Rabu lepas.
PAS sebelum ini mendesak kerajaan untuk membatalkan konsert jelajah dunia Coldplay atas faktor kumpulan itu menyuburkan persefahaman LGBT di negara ini.
Selain itu penganjuran konsert tersebut juga dilihat tidak sensitif dengan krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza, Palestin. – 26 November, 2023.