Iklan

Sarawak bakal nikmati status setara ‘perundangan wilayah’ tidak lama lagi, kata Abang Johari

13 days ago6th May 2024Berita
abang johari openg tmipic 7/10/2020
Premier Abang Johari Openg berkata Dewan Undangan Sarawak mungkin akan menikmati status yang setara dengan "Parlimen wilayah" tidak lama lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2024.
Iklan

PREMIER Abang Johari Openg berkata Dewan Undangan Sarawak mungkin akan menikmati status yang setara dengan “perundangan wilayah” tidak lama lagi.

“Kami pastinya layak mendapat status yang lebih tinggi daripada sekadar menjadi negeri lain.

“Malah kita lebih tinggi daripada menjadi wilayah dan setanding dengan Parlimen wilayah jika kita menerima pakai istilah yang digunakan di negara Komanwel tertentu seperti Australia.

“Untuk itu Peguam Besar Sarawak akan meneliti apakah langkah terbaik mengikut perlembagaan untuk kita menukar terminologi Dewan Undangan Negeri yang bersesuaian dengan yang digunakan di negara Komanwel lain,” katanya selepas majlis Hari Raya di Kuching.

Abang Johari mengesahkan Sarawak sememangnya meneruskan untuk menaikkan statusnya melebihi status sebuah negeri.

“Status Sarawak tidak sama dengan negeri lain di Semenanjung jadi kami akan melihat aspek undang-undang bagaimana untuk meningkatkan status kami,” katanya.

Semalam Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Mohamad Asfia Awang Nassar secara terbuka menegaskan Sarawak menganggap dirinya sebagai wilayah Malaysia, bukan hanya sebuah negeri.

Bercakap pada perhimpunan di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) di Kuching, beliau berkata Sarawak mempunyai status lebih tinggi daripada mana-mana negeri di negara ini.

“Malaysia dibentuk pada 1963 melalui penyatuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura.

“Semua ini adalah wilayah yang bersatu untuk menjadi satu negara.

“Sudah tiba masanya kita di Sarawak menggugurkan istilah ‘negeri’ dan istilah DUN yang digunakan sejak 1976 ditukar kepada Dewan Undangan Sarawak untuk menandakan status kita sebagai wilayah,” katanya. – 6 Mei, 2024.

Iklan
Iklan