Iklan

Pemandu e-hailing bergelut, kerajaan mesti kawal tambang, kata kumpulan

Alfian Z.M. Tahir6 months ago13th May 2024Berita
Grab ehailing 201900412 afif 01  full
Kumpulan pemandu e-hailing memberi amaran jika kumpulan itu dibiarkan berdepan cabaran mereka sendiri, ramai yang akan berputus asa dan keluar dari industri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei 2024.
Iklan

KERAJAAN harus mempertimbangkan nasib pemandu e-hailing dan bukannya hanya menumpukan kepada kepentingan pengguna, kata kumpulan pemandu e-hailing.

Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia Arif Asyraf Ali berkata kerajaan mesti membantu mengawal harga tambang sambil menambah pemandu akan terjejas apabila kadar tambang turun.

Beliau memberi amaran jika kumpulan itu dibiarkan berdepan cabaran mereka sendiri, ramai yang akan berputus asa dan keluar dari industri itu.

Beliau juga berkata sistem pembidaan harga yang digunakan oleh pemandu e-hailing sekarang juga bukanlah jalan penyelesaian.

“Dengan sistem pembidaan, kedua-dua penumpang dan pemandu boleh mencapai persetujuan mengenai tambang tetapi itu tidak membantu pemandu.

“Ia sama ada boleh naik atau turun. Saya akan berikan anda satu contoh. Kadar biasa untuk perjalanan dari KLIA ke bandar ialah RM90 hingga RM150 bergantung kepada jarak.

“Tetapi dengan aplikasi pembidaan, harga boleh mencecah serendah RM35, yang sama sekali tidak boleh diterima. Tetapi ada pemandu yang sanggup mengambilnya kerana tiada pilihan lain.

“Sistem pembidaan tidak akan menguntungkan pemandu dan pengguna boleh menurunkan harga tanpa perlu. Sebagai sebuah organisasi, kami tidak bersetuju dengan sistem pembidaan,” kata Arif kepada The Malaysian Insight.

Pada Sabtu Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya tidak membenarkan mana-mana penyedia perkhidmatan e-hailing menggunakan sistem pembidaan harga.

Loke berkata beliau mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) untuk menyiasat sistem yang sedang digunakan dalam kalangan pemandu e-hailing.

“Apad akan meneliti perkara ini, dan setakat yang saya tahu kami belum meluluskan mana-mana sistem sedemikian,” katanya.

Di bawah sistem pembidaan, pemandu e-hailing boleh menetapkan harga mereka untuk perjalanan sebelum pelanggan membida tambang dengan syarat kadar tambang dipersetujui.

Bagaimanapun sistem ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna pengangkutan awam serta mendakwa ia memaksa penumpang membayar harga yang lebih tinggi.

Bercakap lanjut Arif berkata penyelesaian kepada masalah ini ialah kerajaan membantu mengawal tambang.

Tambahnya pada masa ini kerajaan bersikap tidak adil terhadap pemandu e-hailing dengan menegaskan mereka tidak mencari tambang yang tinggi tetapi yang berpatutan.

“Kerajaan perlu mengawal harga. Buat masa ini, ia di luar kawalan. Putrajaya perlu mengkaji mekanisme supaya pemandu tidak rugi dan penumpang juga tidak.

“Tiada syarikat yang menyediakan perkhidmatan kepada pemandu. Kesemua mereka hanya membuat wang daripada kami. Mereka tidak mengambil berat tentang kami di lapangan,” katanya.

Pemandu e-hailing berhenti kerja

Tambah Arif, jika keadaan tidak bertambah baik, pemandu e-hailing tidak akan tinggal di negara ini.

“Tiada siapa yang mahu melakukan pekerjaan yang tidak berbaloi untuk dilakukan. Jika keadaan tidak bertambah baik, mungkin satu hari nanti, tiada lagi pemandu e-hailing,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan sehingga 10 pemandu e-hailing berhenti kerja setiap hari disebabkan perang harga antara syarikat yang menyediakan perkhidmatan itu.

Walaupun perang harga menjanjikan faedah kepada penumpang, ia menyebabkan pemandu menanggung beban tambang yang rendah.

Dikatakan keadaan yang teruk mendorong ramai pemandu berfikir panjang untuk menyertai industri e-hailing dengan sebahagiannya memilih untuk berputus asa kerana ketidakmampuan untuk menampung perbelanjaan asas.

Seorang pemandu berusia 42 tahun yang ingin dikenali sebagai Syam berkata kerajaan melakukan perkara yang betul dengan tidak mengiktiraf sistem pembidaan harga.

Bagaimanapun beliau bersetuju dengan Arif supaya kerajaan mengawal tambang bagi membolehkan pemandu memperoleh pendapatan yang lebih baik.

“Sebenarnya dengan bidaan, pengguna kadangkala rugi juga. Jika penumpang memerlukan untuk ke destinasi, pemandu boleh menaikkan harga lebih daripada yang sepatutnya.

“Jadi sebenarnya ia bukan sistem yang baik untuk kedua-dua pihak. Kerajaan sepatutnya mengawal tambang. Jangan hanya bertindak sebagai pendamai. Mereka perlu berada di kedua-dua belah pihak, pengguna dan pemandu,” kata Syam.

Bulan lalu, syarikat e-hailing berkata mereka akan bekerjasama dengan kerajaan dan masyarakat untuk memastikan persekitaran yang adil serta mampan untuk pemandu.

Grab Malaysia berkata ia akan menyelaraskan peraturan dan komited untuk memupuk pertumbuhan ekonomi untuk semua rakyat Malaysia.

“Bagi rakan kongsi pemandu, kami menangani perkara ini dengan memastikan mereka mempunyai peluang pendapatan yang konsisten dan pampasan yang adil untuk setiap tempahan.

“Matlamat kami adalah untuk memadankan pemandu dan pengguna secara cekap dengan harga yang optimum serta kompetitif berdasarkan penawaran dan permintaan pada masa itu.

“Tambang juga seimbang secara dinamik untuk memenuhi bekalan pemandu tepat pada masanya, keadaan jalan raya dan faktor lain.

“Kami menyasarkan untuk memberi insentif pada tahap perkhidmatan yang tinggi, memberi ganjaran kepada rakan kongsi pemandu dengan rekod prestasi yang kukuh bagi ulasan yang baik dan kadar penyiapan perjalanan yang tinggi dengan menawarkan peruntukan keutamaan untuk meminimumkan masa mereka memandu di sekitar mencari tempahan,” kata Grab baru-baru ini. – 13 Mei 2024.

Iklan
Iklan