Iklan

Adun Bukit Gasing mulakan khidmat subsidi penjagaan luka

Noel Achariam5 months ago25th May 2024Berita
Myhealerdoc
Adun Bukit Gasing Rajiv Risyakaran (kanan) membantu menyediakan subsidi rawatan penjagaan luka dengan MyHealerDoc.– Gambar Facebook, 25 Mei, 2024.
Iklan

PERKHIDMATAN perintis rawatan luka bersubsidi telah diwujudkan di DUN Bukit Gasing di Selangor bagi merawat pesakit  kurang mampu untuk mendapatkan rawatan.

Menjawab permintaan daripada penduduk di kawasannya, wakil rakyat Rajiv Risyakaran membantu menyediakan subsidi rawatan penjagaan luka dengan MyHealerDoc, platform penjagaan kesihatan Malaysia yang menghubungkan pesakit dengan penyedia penjagaan kesihatan berlesen.

“Orang ramai memerlukan perkhidmatan penjagaan luka. Ia akan mengambil masa untuk perkhidmatan ini meningkat kerana kami perlu mewujudkan kesedaran, terutamanya untuk kumpulan B40,” kata Rajiv kepada The Malaysian Insight.

Dengan perkhidmatan ini, kakitangan penjagaan kesihatan akan melawat pesakit di rumah untuk membalut luka mereka dengan kos bersubsidi.

Aplikasi MyHealerDoc sedia untuk dimuat turun di Apple Store dan Google Play. Mereka yang ingin mendapatkan subsidi hanya perlu mendaftar dan memberikan butiran mereka.

Rajiv berkata penduduk Bukit Gasing akan mendapat akses kepada perkhidmatan penjagaan luka pada kos pengurangan sebanyak RM60 setiap sesi, manakala penduduk B40 akan mendapat manfaat selanjutnya dengan kadar subsidi RM30 setiap sesi.

“Kos sebenar ialah RM90 setiap sesi, saya bagi subsidi daripada peruntukan saya.”

Rajiv berkata, MyHealerDoc akan dapat menyemak berdasarkan alamat dan lokasi untuk menentukan sama ada pesakit berasal dari Bukit Gasing.

Adun Bukit Gasing Rajiv Risyakaran memulakan inisiatif menyediakan subsidi rawatan luka kepada masyarakat setempat yang memerlukan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2024.

Beliau berkata projek perintis ini perlu diambil secara nasional kerana terdapat orang ramai yang memerlukan penjagaan luka.

“Kami berharap Kementerian Kesihatan melihat perkara ini kerana perkhidmatan ini diperlukan oleh rakyat.”

Menurut MyHealerDoc, terdapat 2.4 juta rakyat Malaysia memerlukan penjagaan luka di mana 1.9 juta adalah pesakit kencing manis yang bergelut dengan pemulihan luka.

Rajiv berkata salah satu isu yang dihadapi pesakit kencing manis dengan luka ialah mereka sukar untuk bergerak.

“Ini adalah salah satu cabaran bagi pesakit yang memerlukan penjagaan luka. Ada yang terperap di rumah dan sukar untuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

“Ada yang mungkin memerlukan anak mereka yang bekerja mengambil cuti setengah hari untuk menemani ibu bapa mereka ke klinik.

“Jika luka tidak mendapat penjagaan yang betul, ia boleh menyebabkan amputasi dan kualiti hidup yang lebih rendah,” katanya.

Beliau juga berkata sesetengah pesakit menghadapi masalah kewangan dan tidak mampu untuk menghubungi Grab.

“Tiada klinik kerajaan di sini dan yang terdekat ialah di Taman Medan. Jika seseorang ingin pergi ke klinik menggunakan Grab, ia akan menelan belanja kira-kira RM60 untuk perjalanan pergi dan balik.

“Memanglah klinik kerajaan jauh lebih murah di mana mereka hanya mengenakan bayaran RM1, tetapi tidak ramai pesakit yang dapat ke sana.

“Ramai pesakit yang memerlukan rawatan luka tidak dapat melakukan perjalanan sendiri, jadi mereka memerlukan bantuan.” – 25 Mei, 2024.

Iklan
Iklan