Iklan

Penduduk hadapi detik cemas padam kebakaran 

Desmond Davidson5 months ago29th May 2024Berita
Long bangan fire - may 28, 2024
Penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk memadam kebakaran yang berlaku pada jam 5 pagi di Long Bangan di wilayah Apoh.– 29 Mei, 2024.
Iklan

PENDUDUK kampung di penempatan Orang Ulu terpencil di Long Bangan di wilayah Apoh, Baram berdepan detik cemas apabila terpaksa memadamkan kebakaran 5 pagi semalam untuk menghalangnya daripada merebak ke seluruh penempatan itu.

Mereka berjaya memadamkan kebakaran namun gagal menyelamatkan 14 daripada 102 pintu kediaman menyebabkan 46 orang daripada 14 keluarga hilang tempat tinggal hanya tiga hari sebelum perayaan terbesar Dayak, Hari Gawai.

Penduduk kampung terpaksa mengambil inisiatif sendiri kerana balai bomba terdekat terletak sejauh 248 kilometer di pekan Marudi.

KetuaJabatan Bomba dan Penyelamat Marudi, Maureen Sim dan dua pegawai penyiasat bomba, mengambil masa enam jam melalui jalan balak untuk sampai ke penempatan itu hanya untuk mengumpul maklumat dan menyiasat kemungkinan punca kebakaran yang turut memusnahkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal.

Dalam laporannya, Sim menyatakan tiada operasi memadam kebakaran dilakukan (oleh mereka) kerana api telah dipadamkan sepenuhnya semasa mereka tiba.

Jabatan itu melaporkan penduduk kampung menggunakan setiap sumber air yang ada untuk mengawal api.

Blok paling hampir dengan kediaman yang musnah itu dilaporkan hanya dalam jarak satu meter.

Menurut log balai bomba Marudi, mereka dimaklumkan mengenai kebakaran itu oleh ketua kampung Long Leng kira-kira jam 9 pagi.

Sim dan kedua-dua pegawai penyiasat kemudian segera bertolak ke Long Bangan sekitar jam 3 petang.

Dalam laporannya, Sim menyatakan jalan pembalakan adalah berbahaya dan terpaksa berjalan perlahan kerana beberapa bahagian sangat licin akibat hujan dan bahagian kering yang sangat berdebu sehingga menjejaskan penglihatan.

Perkhidmatan telekomunikasi juga tiada di bahagian Sarawak itu.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan. – 29 Mei, 2024.

Iklan
Iklan