Iklan

LFL desak polis teruskan siasatan kes pengawal peribadi kerabat diraja

Alfian Z.M. Tahir5 months ago30th May 2024Berita
Zaid malek lfl 120722
Pengarah LFL Zaid Malek berkata polis perlu melakukan siasatan terhadap perbuatan jenayah yang berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2024.
Iklan

POLIS perlu meneruskan siasatan berkenaan tuduhan berkenaan seorang lelaki kurang upaya (OKU) diserang pengawal peribadi kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kata Lawyers for Liberty (LFL).

Pengarah LFL Zaid Malek berkata tidak ada “penyelesaian” bagi kes jenayah antara pelaku dan mangsa bagi insiden membabitkan perbuatan jenayah.

“Sebaik saja polis terima maklumat berkaitan berlakunya sesuatu kesalahan, mereka perlu menyiasat perkara itu.

“Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 menugaskan PDR untuk melindungi keamanan dan keselamatan negara, mencegah dan mengesan jenayah serta menahan pelaku kesalahan itu.

“Tugas ini tidak boleh diketepikan hanya kerana laporan polis dibuat menyelesaikan atau menarik balik laporan asal jenayah itu.

“Jika dibenarkan, maka mereka yang berkuasa boleh memaksa laporan yang dibuat terhadap mereka untuk ditarik balik. Ia akan menjejaskan sistem keadilan, menjadikan undang-undang jenayah hanya lakonan,” kanya.

Semalam dilaporkan laporan dibuat terhadap pengawal peribadi Tunku Ismail atas tuduhan menyerang seorang lelaki OKU di sebuah hotel.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Menurut laporan polis yang dilihat The Vibes, lelaki OKU terbabit yang juga pemandu Grab, meletak kereta di depan hotel pintu masuk hotel berkenaan ketika konvoi Tunku Ismail sedang keluar dari bangunan itu.

Dilaporkan mangsa menunggu untuk mengambil penumpang di hotel berkenaan sebelum seorang pengawal peribadi TMJ menyerangnya.

Lelaki berusia 46 tahun itu mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Zaid turut mempersoalkan tindakan polis berkaitan perkara itu, berbanding tindakan diambil terhadap individu yang tidak sependapat berhubung isu 3R.

“Tindakan PDRM berkenaan hal ini sangat dipertikaikan, kerana kes lain yang berkait dengan kritikan terhadap kerajaan atau 3R, mereka cepat menyiasat dan individu terbabit ditahan serta-merta.

“Kita tentu buat perbandingan dan persoalkan kenapa dalam kes ini PDRM tidak menunjukkan kesungguhan serupa.

“Perlu ditekankan, mengikut Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan, perlu ada kesaksamaan dalam undang-undang.

“Tidak ada sesiapa boleh terlepas hanya kerana status atau kenalan. Perbuatan itu seperti mengejek keadilan.

“Kami mendesak polis teruskan siasatan perkara ini. Ia perlu teliti, tidak berpihak dan bebas,” katanya.

Beberapa jam selepas sidang akhbar Shuhaily, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata perkara itu sudah diselesaikan dengan baik kerana mangsa tidak mahu memanjangkan isu itu.

“Pada jam 9.59 malam semalam, pengadu membuat laporan polis kedua menyatakan dia menyelesaikan perkara itu secara baik dan tidak mahu memanjangkan kes,” katanya.

Rusdi dalam kenyataan sama berkata Polis Kuala Lumpur menerima laporan polis pertama semalam pada jam 1 petang daripada pengadu yang merupakan pemandu Grab. – 30 Mei, 2024.

Iklan
Iklan