Iklan

Pemandu e-hailing OKU diserang mahu keadilan, kata peguam

Noel Achariam5 months ago31st May 2024Berita
Latheefa
Dari kiri peguam N Surendran, pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek, peguam Latheefa Koya dan mangsa Ong Ing Keong.– 31 Mei, 2024.
Iklan

PEMANDU e-hailing kelainan upaya yang diserang oleh anggota keselamatan Isnin lalu mahukan keadilan dan menolak sebarang pampasan, kata peguamnya.

Salah seorang peguamnya, Latheefa Koya, memberitahu sidang akhbar hari ini bahawa tiada sesiapa yang telah ditahan berhubung kejadian itu.

Ini selepas Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata Bukit Aman akan memanggil semua pegawai yang terlibat dalam menyiasat kes itu bagi memastikan siasatan menyeluruh dijalankan.

Beliau berkata kesemua mereka yang terlibat dalam siasatan awal akan direkodkan keterangan mereka.

Awal hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata siasatan berhubung dakwaan serangan itu masih dijalankan walaupun laporan awal bahawa kes itu “selesai” selepas mangsa didakwa menerima RM800 daripada wakil penyerang.

Latheefa dalam pada itu berkata, mangsa tidak bersetuju untuk menyelesaikan kes itu.

“Polis telah menghubunginya esok untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

“Kami akan menemaninya esok. Kami mahu polis meneruskan siasatan (tunggu untuk membuat kesimpulan) sebelum melihat sebarang pilihan undang-undang,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Latheefa berkata peguam N Surendran dan pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek akan mewakili mangsa Ong Ing Keong.

Terdahulu, Tunku Ismail mengecam cubaan untuk mengaitkan institusi diraja dengan dakwaan serangan itu, berkata beliau tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang.

“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang. Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.

“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa.

“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar,” katanya di aplikasi X. 

Pada Rabu, polis mengesahkan bahawa kes membabitkan pengawal peribadi Tunku Ismail, yang didakwa menyerang seorang lelaki kurang upaya di sebuah hotel, telah diselesaikan secara baik.

Polis Kuala Lumpur berkata, itu dilakukan selepas pihaknya menerima satu lagi laporan daripada pengadu lewat semalam menyatakan perkara itu telah menyelesaikan perkara itu secara baik, dan mangsa tidak mahu memanjangkan kes.

Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Orang Pekak Malaysia (Dawn) dalam satu kenyataan semalam berkata, amat membimbangkan mangsa didakwa didesak untuk menyelesaikan kes itu dengan bayaran RM800.

Dawn juga mendakwa pemandu OKU itu diberi dua pilihan, sama ada meneruskan kes ke mahkamah atau menggugurkan kes itu dan diberi pampasan.

Menurut Dawn, mangsa dimaklumkan jika memilih pilihan pertama, telefonnya akan dirampas. 

“Di bawah tekanan, mangsa Pekak menggugurkan kes dan bersetuju untuk diberi pampasan,” dakwanya.

“Atas alasan apakah telefon bimbit mangsa disimpan untuk siasatan polis?” soal Dawn.

Mangsa telah membuat laporan polis selepas dia mendakwa dia diserang di pintu masuk hotel ketika konvoi VIP sedang beredar.

Versi mangsa

Mangsa, Ong menceritakan kejadian versinya hari ini.

Dia mendakwa telah menerima RM800 daripada seorang wakil istana sebagai penyelesaian apabila dia membuat laporan polis.

“Selepas membuat laporan, polis memberitahu ada wakil istana akan datang.

“Saya kemudian bertanya (wakil istana) di mana orang yang memukul saya dan dia berkata orang itu bekerja.”

Ong mendakwa wakil istana memberinya dua pilihan iaitu menarik balik kes dan mereka akan memulangkan telefonnya, atau pergi ke mahkamah.

“Wakil itu berkata mereka akan membayar rawatan hospital atau pergi ke mahkamah berhubung perkara itu.

“Saya mahu telefon bimbit itu, jadi saya memutuskan untuk menggugurkan kes itu. Pegawai itu kemudian bertanya berapa banyak pampasan yang saya mahukan.

“Mereka minta saya selesaikan, saya minta RM1,000. Wakil tempat kemudian beri RM800.”

Ong berkata beliau mahukan keadilan dalam kesnya. – 31 Mei, 2024.

Iklan
Iklan