Iklan

Kedai buku tuntut KDN pulangkan rampasan

Alfian Z.M. Tahir5 months ago4th Jun 2024Berita
Benzali  full
Pemilik kedai buku Benz Ali berkata kedainya diserbu KDN pada Ogos 2023 dan dua buku dirampas. Kedua-dua buku itu tidak termasuk dalam senarai buku diharamkan kerajaan. – Gambar Facebook, 4 Jun, 2024.
Iklan

DUA pemilik kedai buku yang bukunya dirampas oleh pihak berkuasa tahun lalu masih tidak tahu tentang status kes terhadap mereka.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, Amir Hamzah Akal Ali atau lebih dikenali sebagai Benz Ali, dan Chong Ton Sin atau Pak Chong, berkata mereka tidak menerima maklumat kemas kini daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan status buku mereka.

KDN menyerbu kedai buku Benz Ali pada Ogos 2023 dan merampas dua buku – terjemahan Bahasa Melayu buku “Karl Marx: The Revolutionary as Educator” oleh Robin Smalls dan buku Benz Ali sendiri berjudul “Koleksi Puisi Masturbasi”. Kedua-dua buku itu tidak termasuk dalam senarai buku diharamkan kerajaan.

Kedai buku GerakBudaya milik Pak Chong diserbu pada November dan lapan buku berbahasa Cina dirampas kerana dikatakan ada elemen komunis.

“Saya tidak diberi maklumat sejak hari mereka ambil buku saya,” kata Benz Ali.

Pak Chong berkata beliau akan berhubung dengan KDN tidak lama lagi.

Katanya, beliau boleh saja menghubungi KDN lebih awal tetapi tidak sempat kerana jadualnya padat.

“Saya akan hubungi mereka tentang hal ini. Saya sibuk sedikit beberapa bulan ini.

“Selepas buku diambil, saya tidak tahu tentang status siasatan,” katanya.

Pak Chong sebelum ini berkata perubahan institusi tidak akan dapat dilaksanakan jika kerajaan masih mengamalkan birokrasi.

Katanya, keadaan boleh dibaiki jika KDN membubarkan jabatan yang ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan terhadap penerbit.

“Hapuskan saja jabatan itu, kemudian baru kita boleh lihat perubahan sebenar. Selagi ia wujud, mereka akan buat kerja. Mereka diprogram seperti itu. Saya tidak terkejut,” katanya yang pernah menjadi tahanan ISA.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan tindakan kementeriannya merampas lapan buku daripada GerakBudaya, mendakwa ia mempunyai kandungan komunisme.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada usaha wajar kerajaan.

Ketika ditanya mengapa kementerian masih terus merampas buku, Saifuddin berkata konotasi digunakan terhadap tindakan kerajaan itu kelihatan agresif dan tidak selari dengan niat sebenar.

“Termanya adalah ‘ambil’ kerana GerakBudaya juga menyebut pegawai penguatkuasa sopan ketika rampasan itu dibuat. Saya fikir saya patut pilih perkataan lebih lembut. Perkataan seperti ‘rampas’ dianggap agresif dan kasar.”

Kumpulan Lawyers for Liberty (LFL) mengutuk tindakan itu, berkata tugas kerajaan adalah melindungi masyarakat daripada ancaman dan kecederaan sebenar, bukannya fikiran dan idea.

Katanya, Putrajaya tidak berhak merampas mana-mana penerbitan yang dianggap tidak sesuai tanpa melalui proses dalam seksyen 7(1) PPPA.

Seksyen 7(1) menyatakan mana-mana perintah oleh menteri untuk mengharamkan penerbitan perlu diwartawakan sebelum ia dikuatkuasakan undang-undang. – 4 Jun, 2024.

Iklan
Iklan