Iklan

Kabinet luluskan peraturan baharu MM2H, kata menteri

Noel Achariam4 months ago14th Jun 2024Berita
Tiong king sing parliament 201222
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing berkata Putrajaya meluluskan peraturan baharu untuk program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H). – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2024.
Iklan

PUTRAJAYA meluluskan peraturan baharu untuk program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dengan maklumat lanjut akan diumumkan tidak lama lagi, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing.

Beliau berkata peraturan baharu itu mendapat kelulusan Kabinet dan menasihatkan syarikat atau ejen dalam program MM2H supaya memberikan perkhidmatan terbaik bagi memartabatkan nama baik negara.

“Ia sudah diluluskan. Kalau boleh kita umumkan hari ini,” katanya kepada pemberita.

Sebelum ini dilaporkan program MM2H menyaksikan penurunan 90% dalam bilangan pemohon susulan syarat yang lebih ketat dikenakan.

Laporan sebelum ini mengatakan mereka memilih negara jiran lain kerana syarat ketat yang dikenakan oleh pentadbiran terdahulu pada 2021.

Syarat baharu yang dikenakan memerlukan pemohon mempunyai simpanan kekal sekurang-kurangnya RM1 juta dan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.  

Sebelum ini mereka hanya memerlukan simpanan antara RM300,000 dan RM500,000.

Mereka kini juga perlu menunjukkan pendapatan luar pesisir sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan.

Program MM2H yang mempromosikan Malaysia sebagai destinasi persaraan antarabangsa dibekukan pada 2020 dan disambung semula pada 2021 dengan syarat yang lebih ketat. – 14 Jun 2024.

Iklan
Iklan