Iklan

Mitos dan realiti tentang buaya di Sarawak

Desmond Davidson4 months ago16th Jun 2024Berita
Saltwatercrocodile(maximo)
Masyarakat Iban percaya buaya adalah saudara mara mereka yang sudah meninggal dunia dan berubah menjadi buaya, menurut pakar arkeologi yang juga pakar buaya Ipoi Datan. – Gambar fail Facebook, 16 Jun, 2024.
Iklan

RASA hormat yang mendalam masyarakat Iban terhadap buaya adalah sebab kenapa tiada seorang pun daripada kaum terbesar Sarawak itu membunuh haiwan reptilia itu, walau bagaimana sekalipun ia mengganas di rumah panjang atau penempatan penduduk.

Daging buaya juga tidak akan pernah menjadi hidangan di rumah orang Iban, mereka tidak makan daging buaya.

Ini kerana masyarakat Iban percaya buaya adalah saudara mara mereka yang sudah meninggal dunia dan berubah menjadi buaya, menurut pakar arkeologi yang juga pakar buaya Ipoi Datan.

Bekas pengarah Muzium Sarawak yang kini berkongsi pengalaman dan kepakaran sebagai pegawai penyelidik di Majlis Adat Istiadat, berkata kepercayaan tradisional berkenaan buaya itu dipengaruhi oleh Ribai, iaitu tuhan sungai yang juga penunggu buaya.

Masyarakat Iban yang secara tradisinya tinggal di kawasan perairan Borneo, melihat sungai sebagai talian hayat, memberikan mereka makanan, pengangkutan dan komunikasi.

Maka, memberi penghormatan kepada Ribai adalah penting bagi memastikan kemakmuran dan keselamatan di laluan air ini.

Di Sarawak, hanya ada dua spesis buaya – paling biasa adalah Crocodylus porosus atau lebih dikenali sebagai buaya air masin, dan satu lagi Gharial atau False Gharial, atau dikenali sebagai buaya jejulong iaitu buaya air tawar.

Masyarakat Iban percaya jika mereka bunuh buaya, walau atas sebab apa sekalipun, reptilia itu ada kuasa untuk membalas dendam.

Satu cerita dongeng yang sering diceritakan sejak zaman berzaman adalah tentang seorang lelaki yang membawa keluarganya tinggal jauh dari sungai selepas “melakukan sesuatu” kepada buaya, supaya buaya tidak boleh membalas dendam.

Menurut cerita Ipoi, lelaki itu membawa keluarganya tinggal di atas gunung di mana dia percaya tidak ada buaya boleh sampai di situ.

Pada satu hari di mana angina terlalu kuat, satu objek berat yang disimpan di loteng di bilik tidur anak lelakinya terjatuh menimpa kanak-kanak itu yang sedang tidur.

Hentakan terlalu kuat di kepala menyebabkan anaknya itu terbunuh.

Apabila keluarga itu melihat objek yang terjatuh berkenaan, mereka mendapati ia adalah sebuah dram yang diselaputi dengan kulit buaya!

Elak diserang buaya

Ipoi yang juga suku Lun Bawang dari Lawas, berkata masyarakat Dayak di Kalimantan, seberang sempadan di Indonesia, akan mengikat daun daripada pokok jenis pudding di bot mereka ketika melakukan perjalanan di sungai bagi mengelak serangan buaya.

Katanya, daun itu menjadi isyarat kepada buaya yang orang di dalam bot itu tidak berniat untuk mencederakan mereka.

Satu lagi kepercayaan yang sering dilakukan Dayak di Sarawak adalah membuat tatu berbentuk mata kail ikan, terutama di betis, untuk mengelak serangan buaya.

“Mereka percaya orang yang ada tatu itu mempunyai kuasa khas yang boleh menyebabkan buaya tidak menyerangnya,” kata Ipoi.

Bagi mereka yang tinggal di kawasan sungai yang didiami buaya – ada banyak kawasan seperti itu di Sarawak – ada nasihat mudah diberikan Ipoi untuk mengelak diri menjadi mangsa buaya.

“Jangan ada rutin. Jangan pergi ke sungai pada waktu sama setiap hari, di tempat yang sama di sungai itu, sama ada untuk mandi, ambil air atau basuh baju.

“Dan jangan keluar menangkap ikan pada waktu malam.”

Sebagai peraturan, Ipoi berkata elak ke sungai sebelum jam 6 pagi dan selepas 5 petang.

Katanya, waktu itu buaya sedang keluar memburu makanan.

Monyet yang menjadi makanan kegemaran buaya sering turun ke sungai untuk minum pada awal pagi, kata Ipoi, dan manusia yang melakukan aktiviti di sungai pada waktu berkenaan sering disangka adalah monyet.

Ipoi berkata jumlah individu diserang ketika menangkap ikan pada waktu malam adalah sebabnya kenapa perlu mengelak ke sungai pada waktu itu.

Kebanyakan serangan terbaru menunjukkan mangsa adalah pekerja warga asing di kawasan perladangan yang ingin menambah sumber makanan mereka dengan menangkap ikan.

Katanya, buaya mungkin dibenci, disumpah, dihormati dan dikagumi oleh manusia, dan manusia perlu belajar untuk hidup bersama dengan buaya.

“Buaya sudah terlalu lama wujud, kira-kira 230 juta tahun.

“Mereka hidup lebih lama daripada dinasor,” katanya. – 16 Jun, 2024.

Iklan
Iklan