Iklan

Sarawak, Putrajaya bincang berkenaan bidang kuasa pelancongan

Desmond Davidson4 months ago16th Jun 2024Berita
49974166128 9e8d5b7459 o
Sarawak sedang dalam perbincangan dengan Putrajaya berkaitan tahap bidang kuasa Sarawak berkenaan pelancongan di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2024.
Iklan

SARAWAK sedang dalam perbincangan dengan Putrajaya berkaitan tahap bidang kuasa Sarawak berkenaan pelancongan di negeri itu, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata perbincangan turut diadakan berhubung permohonan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan pembaharuan lesen kepada pemandu pelancong.

Karim berkata jika Sarawak diberikan kuasa untuk mengeluarkan lesen ejen MM2H, isu semasa yang berkaitan program itu dapat dielakkan.

“Namun ia bukan kuasa Sarawak semata-mata,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Muzium Budaya Borneo bersama Yang di-Pertua Negeri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam.

Beliau berkata pada 1990-an kerajaan persekutuan ketika itu membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) dan meletakkan pelancongan di bawah Senarai Persekutuan, tanpa merujuk kepada negeri.

“Jadi, apabila perkara berkaitan hak negeri ini dibincangkan pada masa itu, kami mula bertanya balik. Pelancongan sepatutnya menjadi urusan negeri juga,” katanya.

Karim berkata sebelum ini pelancongan tidak diletakkan sama ada dalam senarai negeri mahupun Senarai Bersama dan sekiranya ia tidak diletakkan di mana-mana senarai persekutuan mahupun negeri atau bersama, maka ia akan diletakkan sebagai Perkara Residual, yang secara automatik menjadi perkara di bawah senarai negeri.

Katanya, dengan menjadikan pelancongan sebagai Senarai Bersama dalam Perlembagaan Persekutuan, beliau percaya ia akan memberi banyak kuasa kepada Sarawak dalam industri itu.

Dalam mesyuarat terbaru, Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 memindahkan pelancongan ke senarai serentak seperti diminta Sarawak.

Beliau berkata kerajaan negeri mohon bidang kuasa lebih besar dalam pelancongan.

Katanya, rakan sejawatnya di peringkat persekutuan, Tiong King Sing berkata perbincangan akan membabitkan pembahagian kuasa, tetapi tahap pembahagian itu masih tidak diketahui.

“Kita perlu duduk dan berbincangan tanpa tergesa-gesa. Rundingan dengan kedua-dua negeri sangat perlu,” katanya.

Karim berkata ketika Sarawak dan Sabah bersetuju menyertai Malaysia, pelancongan bukan topic perbincangan.

“Pada 1963 tiada siapa nampak pentingnya pelancongan.” – 16 Jun, 2024.

Iklan
Iklan