Iklan

Aktivis Pro-Palestin tamatkan mogok lapar

Noel Achariam3 months ago18th Jul 2024Berita
Hunger2  full
Aktivis Pro-Palestin M. Mythreyar menamatkan mogok lapar dan protes senyapnya selama sembilan hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2024.
Iklan

AKTIVIS Pro-Palestin M. Mythreyar menamatkan mogok lapar dan protes senyapnya selama sembilan hari sebagai bantahan terhadap penjualan saham Malaysia Airlines Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang merupakan anak syarikat milik penuh BlackRock.

Beliau memberitahu The Vibes protesnya berakhir pada jam 4.30 petang kerana hari ini adalah hari terakhir sidang Parlimen untuk minggu ini dan disebabkan masalah kesihatannya.

“Saya memulakan protes saya di hadapan Parlimen minggu lepas dan meneruskannya sehingga hari ini. Tujuan utama saya adalah untuk mendorong semua ahli Parlimen untuk membincangkan isu ini di Parlimen.

“Saya berharap mogok lapar dan protes senyap saya akan menjadi alasan yang baik untuk ahli Parlimen membincangkan isu penjualan MAHB,” katanya.

Tambahnya dia kini dalam perjalanan ke hospital bersama rakannya untuk mendapatkan pemeriksaan.

Lelaki berusia 46 tahun dari Tanjung Malim, Perak berkata dia akan berehat selama dua hari dan kemudian kembali pada Sabtu untuk meneruskan protesnya.

“Saya tidak akan mengalah dalam perjuangan ini. Saya akan berehat di Kuala Lumpur, kemudian saya akan menyertai protes ‘Jalan Jalan Palestine’ di Bukit Bintang pada waktu malam.”

Pada 10 Julai, Kementerian Kewangan (MOF) berkata firma pengurusan aset BlackRock Inc tidak terlibat dalam perbincangan yang dijalankan oleh ahli konsortium yang diketuai oleh Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenai pegangan minoriti 30% dalam MAHB.

Bernama melaporkan MOF berkata GIP akan mengekalkan kawalan penuh ke atas hala tuju strategik GIP dan syarikat-syarikat pelaburannya.

“Walaupun GIP akan diambil alih oleh BlackRock, GIP akan terus beroperasi secara berasingan dari BlackRock.

“Abu Dhabi Investment Authority dan GIP juga akan memegang kepentingan minoriti 30% dalam MAHB. (Oleh itu) semua keputusan penting mengenai MAHB hanya akan dilaksanakan dengan persetujuan ahli konsortium,” kata MOF sambil menambah transaksi tersebut sepenuhnya mengecualikan BlackRock.

Mythreyar berkata ramai ahli Parlimen, kumpulan masyarakat sivil, ahli PAS, pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Michael Jeyakumar Devaraj, ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, bekas Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan orang awam datang untuk menyokong perjuangannya. – 18 Julai, 2024.

Iklan
Iklan