Iklan

PM sifatkan Meta biadap turunkan catatan mengenai pemimpin Hamas

Alfian Z.M. Tahir3 months ago1st Aug 2024Berita
Anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam Meta kerana mengalih keluar catatan mengenai pemimpin Hamas Ismail Haniyeh di Facebook dan Instagram.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2024.
Iklan

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mengecam Meta kerana mengalih keluar catatan mengenai pemimpin Hamas Ismail Haniyeh di Facebook dan Instagram.

Ini adalah kali kedua Meta membuang catatan Anwar mengenai Hamas dan pemimpinnya.

Anwar dalam catatan Facebooknya memberi amaran kepada platform itu supaya tidak menjadi pengecut dan alat kepada rejim Zionis Israel yang zalim.

“Meta sekali lagi bertindak biadab dan telah menghina perjuangan rakyat Palestin apabila menurunkan hantaran video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Almarhum Ismail Haniyeh.

“Tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya,” katanya. 

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengarahkan Meta menjelaskan mengapa catatan pada Mei, yang menunjukkan pertemuan Anwar dengan pemimpin Hamas, telah diturunkan.

Permintaan ini dibuat menerusi satu kenyataan di laman sosial rasmi Anwar.

Sementara itu, New Straits Times berkata catatan media sosial lain oleh Anwar mengenai kematian Haniyeh telah dipadamkan.

Di Instagram, pengguna mhd.ekram bertanya, “Datuk Seri, video yang awak siarkan semalam telah hilang. Saya nak tahu kenapa.”

Komen itu dibuat pada catatan Anwar di Hari Pahlawan, dimuat naik 18 jam lalu.

Difahamkan kedua-dua video dan gambar Haniyeh telah dialih keluar daripada platform media sosial berasingan milik Anwar.

Haniyeh adalah wajah antarabangsa untuk Hamas dan pemimpin paling kanan kumpulan pejuang itu yang dibunuh oleh Israel sejak serangan pada 2004 yang menyebabkan pengasas Hamas Sheikh Ahmed Yassin terbunuh di Gaza.

Haniyeh, 62, adalah ketua biro politik Hamas dan menetap di Qatar sejak tahun lalu.

Kumpulan pejuang Islam itu sedang berkabung atas kematian Haniyeh, yang dikatakan terbunuh dalam “serangan khianat Zionis di kediamannya di Tehran”.

Beliau menghadiri majlis mengangkat sumpah presiden baharu Iran semalam. – 1 Ogos, 2024.

Iklan
Iklan